Kepentingan untuk menjamin kedaulatan sesebuah negara dalam perkembangan dunia internet dan teknologi maklumat adalah antara fokus Malaysia di Persidangan dan Pameran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2012, yang bermula di Dubai pada hari Ahad.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata dalam menekankan soal kedaulatan negara, perkembangan hebat hubungan komunikasi seperti internet perlu dititik berat dan dilihat sebagai satu kuasa yang mungkin boleh mencabul kedaulatan sesebuah negara.

"Mereka ini (penjenayah siber) tidak menggunakan senapang, meriam, torpedo atau jet pejuang tetapi (menggunakan) internet sebagai alasan atau alat untuk menembusi kedaulatan sesebuah negara.

"Ini sangat mustahak... kita akan cuba timbulkan isu ini dalam kontek perjuangan antarabangsa," katanya kepada pemberita Malaysia selepas majlis pelancaran persidangan itu di Dubai semalam.
  
Rais mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai delegasi Malaysia pada persidangan lima hari itu di Pusat Dagangan Dunia Dubai.

Rais berkata bagi Malaysia, faktor tadbir urus amat penting sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa supaya tidak berlaku pertembungan undang-undang dari aspek pendekatan undang-undang jenayah di internet (siber) dengan jenayah biasa.

"Kita mahu pastikan kalau seseorang itu pencuri di dunia biasa, jika perkara sama dilakukan di ruang siber, dia juga tetap dilihat pencuri dari aspek perundangannya," katanya.

Menurutnya isu sama telah disuarakan oleh Malaysia ketika beliau menghadiri persidangan mengenai ruang siber di London awal tahun ini.

Perkara itu wajar terus dibincangkan oleh sektor berkenaan, khususnya di peringkat antarabangsa bagi memastikan adanya persefahaman yang boleh menjurus kepada pembentukan undang-undang sejagat berhubung internet dan ICT.

"Hal-hal seperti ini belum lagi dibincangkan secara mendalam dan kita ingin mendapatkan penelitian dan reaksi sama ada daripada negara anggota ITU atau pihak yang mentadbir perundangan di negara masing-masing," katanya.

Rais memaklumkan topik masa depan internet dan bidang ICT serta peluang perniagaan pada pelabur antarabangsa turut menjadi fokus Malaysia pada sidang itu.

Persidangan tersebut melibatkan 193 negara anggota serta menghimpunkan lebih 300 peserta termasuk ketua-ketua negara, kerajaan, pakar-pakar informasi dan teknologi serta ahli akademik dari seluruh dunia.  
- Bernama