Selasa, 9 Oktober 2012

Projek kawalan udara: KEADILAN persoal hubungan Enav-Selex

Oleh Aedi Asri

KUALA LUMPUR : KEADILAN bimbang hubungan niaga antara Enav S.p.A, perunding lantikan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bagi projek Air Traffic Modernization System (ATMOP) dengan Selex Sistemi Integrati (Selex) mencetuskan konflik kepentingan.



Perkara tersebut disuarakan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, DCA pada 3 Oktober lalu menganugerahkan surat tawaran kepada Enav sebagai perunding untuk tingkatkan tahap komunikasi pengemudian, pengawasan dan kawalan trafik udara di KLIA2 dan ruang udara sekitar.

“Dalam kenyataan media 11 Mei 2009, Enav dan Selex (umumkan) kerjasama untuk tembusi pasaran antarabangsa dalam perkhidmatan kawalan trafik udara.

“Klausa 29.1 surat perjanjian DVA dan Enav nyatakan perunding perlu patuhi undang-undang negara termasuk dalam soal perolehan.

“Bukankah Enav akan berat sebelah dalam menyarankan syarikat pembekal bagi sistem kawalan trafik udara?” soalnya.

Izzah berkata, klausa 33.1 perjanjian juga melarang perunding terlibat dalam perniagaan di Malaysia secara langsung atau tidak bercanggah dengan tugas perunding.

“Adakah hubungan Enav dan Selex secara tidak langsung melanggar klausa itu?” soal beliau lagi.
Sebelum ini, beliau membuat beberapa pendedahan mengenai masalah sistem kawalan trafik udara Lapangan Terbang Subang yang dibangunkan Selex dan Advanced Air Traffic Systems (AAT).

AAT dimiliki  anak bekas  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Jamaluddin Jarjis.

21 September lalu, fungsi radar dan radio di Lapangan Terbang Subang tergendala dari 2 pagi hingga 4 pagi menyebabkan semua penerbangan dibatalkan dan sistem kawalan udara diserahkan kepada negara jiran.

“Dengan rekod prestasi (buruk) Selex serta hubungan Enav-Selex, apakah langkah yang akan diambil DCA untuk pastikan pelbagai masalah pada sistem kawalan trafik udara Lapangan Terbang Subang tidak berulang di KLIA2?” soal Izzah lagi.

Tiada ulasan: