Isnin, 15 Oktober 2012

Norizan, mangsa tembakan fail saman ke atas kerajaan Malaysia dan PDRM

TERKINI

Norizan Salleh (kanan) bersama peguam, Latheefah Koya di Mahkamah Jalan Duta. - Gambar oleh Md Izwan

LUMPUR— Norizan Salleh, 32 menfailkan tuntutan saman dengan menamakan kerajaan Malaysia, ketua polis daerah Sentul, ketua polis negara dan seorang pegawai polis sebagai defendan selepas mangsa tembakan polis tersebut gagal mendapat pembelaan hampir tiga tahun.

Norizan mendakwa dia telah menerima lima tembakan dan dalam tuntutannya menuduh pihak polis telah melanggar garis panduan operasi (SOP) apabila menembak dari belakang kereta dalam kejadian pada 30 Oktober 2009 lalu.

Kejadian tersebut menyebabkan ibu tunggal itu kini mengalami masalah pada pergelangan tangan dan sering sakit di bahagian jantung akibat daripada pembedahan yang dijalaninya di Hospital Kuala Lumpur dan Institut Jantung Negara selepas insiden tembakan tersebut.

“Saya kini sering menggeletar di bahagian tangan dan jantung sering sakit terutamanya apabila cuaca sejuk.
“Saya masih trauma dengan insiden ini hinggakan setiap kali terlihat kereta peronda saya akan teringat peristiwa tiga tahun lalu itu,” kata Norizan.

Disamping itu, Norizan juga melahirkan kekesalannya terhadap pihak polis dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang gagal menunaikan janji untuk memberikan keadilan kepadanya hingga sekarang.

Dalam saman yang difailkan, antara tuntutan tersebut ialah gantirugi am, gantirugi khas sebanyak RM18,326 (kos perubatan di IJN), gantirugi teruk/teladan, faedah atas penghakiman keseluruhan pada kadar 8 peratus setahun sejak dari tarikh tindakan ini difailkan sehingga tarikh penyelesaian penuh, kos dan apa jua perintah dan kerugian lain yang difikirkan patut dan sesuai wajar ditentukan oleh pihak mahkamah.

Ibu kepada plaintif, Siti Alimah Amin kecewa dengan tindakan pihak polis yang bukan sahaja tidak bertanggungjawab malahan tidak memberikan keadilan kepada anaknya tersebut.

 “Mereka (polis) bukan sahaja tidak melawat malahan mengambil sikap lepas tangan. Hishammuddin pun sama, mana janjinya untuk memberikan keadilan anak saya ini?

“Sudah hampir tiga tahun, pelbagai janji yang dibuat hingga kini belum ditunaikan. Kini anak saya kena tanggung perubatan sendiri, hospital sudah menghantar surat ke rumah untuk menuntut pembayaran,” kata Siti Alimah.

Peguam yang mewakili Norizan, N. Surendran dan Latheefah Koya juga mencabar untuk kerajaan dan PDRM tampil untuk bertanggungjawab ke atas cubaan membunuh yang dilakukan oleh pegawai polis yang menembak dan mencederakan Norizan.

“Saya cabar kerajaan dan polis untuk bertanggungjawab ke atas cubaan membunuh. Ini adalah cubaan membunuh. Saya mahu mereka bertanggungjawab!” kata Surendran.

Dalam kejadian sekitar jam 3.00 pagi, Norizan duduk di kerusi belakang kereta Proton Waja bersama empat orang rakannya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Segambut, Kuala Lumpur.

Ketika melalui lebuh raya MRR2, sebuah kereta MPV memintas dari sebelah kiri dan melepaskan tembakan dengan pistol ke arah keretanya.

Peluru menembusi kereta yang dinaikinya dengan lima tembakan mengenai dirinya, salah satunya terkena pada dada sehingga darah mengalir tanpa berhenti. 

Norizan cuba meminta tolong tetapi dibalas pula dengan tendangan polis dan kemudiaan belakangnya dipijak hingga mengakibatkan dua tulung rusuknya retaknya.

Norizan kemudiaan dihantar ke HKL untuk dirawat dan empat hari kemudian (4 November 2009) dihantar ke Institut Jantung Negara.

Setelah keluar, Norizan dikehendaki membayar RM20,000 kos rawatan tetapi bukan pegawai polis yang mencederakannya atas alasan Norizan ditimpa kemalangan jalan raya.

Norizan pada April 2010 juga telah menyerahkan memorandum kepada Hishammuddin mendesak supaya tindakan diambil terhadap anggota polis yang didakwanya bertindak tidak mengikut undang-undang dengan menembak dan mengasarinya.

Memorandum berkenaan juga menyifatkan kes tersebut sebagai “cubaan membunuh” dan “serangan kejam” ke atas Norizan.

Malangnya hingga kini mangsa tersebut masih belum mendapat pengadilan malahan penolong pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Mohd Kamaruddin Md Din pada Jun dalam satu kenyataan memutuskan tiada sebarang pertuduhan terhadap pegawai polis yang terbabit dalam kejadian tersebut.

Tiada ulasan: