Sebaliknya tegas Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, Kerajaan Pusat perlu mendapatkan kembali dana RM250 juta yang disalurkan bagi membiayai Projek Pusat Fidlot Kebangsaan (PFN).
“Apabila kerajaan mengambil keputusan untuk mengenakan tindakan sivil terhadap NFCorp, sedang NFCorp adalah sebuah syarikat yang mengalami kerugian dan tiada harta, kerana semua wang itu telah dipindahkan ke syarikat lain,” katanya yang dihubungi Sinar Harian Online hari ini.
Mengulas lanjut, Rafizi mendesak kerajaan supaya menguna pakai Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) bagi merampas dan membekukan segala harta yang diperolehi keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, yang memiliki NFCorp.
Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang dikeluarkan semalam menyatakan beberapa langkah yang dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap NFCorp berikutan kegagalannya memenuhi syarat perjanjian yang ditandatangani dan prestasi projek yang tidak dicapai.
Salah satu langkah yang dipertimbangkan adalah mengambil tindakan undang-undang sivil.
Sementara itu, dalam kenyataan dikeluarkan kemudian, Rafizi berkata, PKR menolak langkah mengambil tindakan undang-undang sivil ke atas NFCorp atas dasar ia tidak menjamin bahawa dana awam RM250 juta dapat dikutip sepenuhnya.
Kata beliau, perjanjian yang dimeterai adalah di antara kerajaan dan NFCorp, maka sebarang tindakan undang-undang sivil seperti saman akan hanya melibatkan NFCorp.
Malah katanya, perlakuan penyelewengan dan pembelian aset mewah yang tidak ada kena-mengena dengan projek fidlot kebangsaan banyak berlaku di dalam syarikat-syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh keluarga Shahrizat, bukannya NFCorp.
"Syarikat-syarikat ini secara undang-undang tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab atau obligasi kepada kerajaan atau pun perjanjian dana awam RM250 juta kerana ia hanya melibatkan NFCorp, maka ia tidak boleh disaman.
"NFCorp tidak mempunyai aset yang besar dan mengalami kerugian sejak ia beroperasi. Jika Kerajaan Persekutuan berjaya sekali pun dalam tindakan saman sivilnya, NFCorp boleh sahaja diisytiharkan muflis tetapi tidak masih mampu membayar kembali RM250 juta yang dipinjam," katanya lagi.
Oleh itu kata beliau, PKR sejak dari awal lagi mengesyorkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengenakan “jaminan peribadi” agar semua harta mereka boleh disita bagi mendapatkan kembali RM250 juta dana awam yang diselewengkan.
Rafizi juga berkata, beliau mengalu-alukan pendedahan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 mengenai NFC kerana ia melambangkan sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang hanya mahu melengah-lengahkan tindakan diambil ke atas NFC.
"Pendirian Kerajaan Persekutuan yang hanya mahu mengambil tindakan undang-undang sivil, bukannya tindakan tegas dengan mengenakan jaminan peribadi atau pembekuan aset/sita aset di bawah AMLA mengesahkan bahawa Barisan Nasional tidak berniat mendapatkan kembali RM250 juta dana awam yang telah disalurkan kepada NFCorp," katanya sambil menambah, PKR akan tetap bersuara demi memastikan segala usaha diambil untuk mendapatkan kembali wang RM250 juta tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan