"Itu hak dia, saya tiada hak nak komen terpulang kepada kepimpinan Pas jika fikir beliau (Datuk Nik Aziz Nik Mat) masih bertenaga dan tajam fikiran, saya tak nak komen lebih terserah kepada rakyat untuk menilai," katanya.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden Umno berkata, BN telah pun bersiap sedia dengan jentera pilihan raya dan menawarkan kepimpinan yang berwibawa untuk bertanding di negeri tersebut.
Muhyiddin diminta mengulas laporan yang membayangkan Mursyidul Am Pas itu akan bertanding dalam PRU13.
“Apa yang pasti BN akan menawarkan kepimpinan berwibawa untuk bertanding termasuk calon yang bakal dinamakan menjadi Menteri Besar sekiranya diberi mandat untuk mentadbir Kelantan,” katanya kepada pemberita di Batu 14, Hulu Langat dekat sini.
Beliau berharap rakyat Kelantan memberi perhatian terhadap perkara ini dan dapat membuat perbandingan berhubung siapa yang lebih layak memimpin negeri itu dan ia bukan terhad atas tokoh agama sahaja bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit di negeri itu.
"..dari segi pentadbiran, pengurusan menyelesaikan masalah isu-isu berbangkit di negeri itu termasuk soal air yang tidak dapat diselesaikan, kemiskinan tegar masih banyak dan isu-isu sosial... itu juga perlu diberi perhatian," katanya.
"Harap rakyat Kelantan dapat buat perbandingan siapa yang lebih bersesuaian dan layak bukan atas tokoh agama sahaja," katanya.
Muhyiddin berkata, hanya rakyat Kelantan yang mempunyai jawapan berhubung apa yang akan berlaku ke atas negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya Nik Abdul Aziz bertanding pada pilihan raya akan datang dan sekali lagi menjadi menteri besar.
"Saya tidak boleh jawab hanya orang di Kelantan yang boleh menjawabnya," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan