Seorang mangsa, Ganeswaren berkata, dia menyedari kejadian tersebut kira-kira jam 2.40 pagi apabila terdengar bunyi kuat seolah-olah bunyi tembakan di luar rumahnya.
Menurutnya, dia ternampak seorang lelaki memegang besi memecahkan cermin keretanya di hadapan rumah dan juga kenderaan lain di sepanjang jalan utama.
“Saya keluar rumah untuk menghalang namun belum sempat berbuat apa-apa lelaki berkenaan dipercayai dalam pengaruh alkohol melarikan diri menaiki sebuah motosikal dengan rakannya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Impian Ehsan sebelum ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Eddie Ng Tien Chee berkata, dia menerima aduan daripada penduduk pagi semalam sebelum bergegas ke tempat kejadian kira-kira jam 8 pagi.
“Menurut mangsa, keseluruhan kerugian yang terpaksa ditanggung mereka sekitar RM20,000 bagi menggantikan tingkap dan cermin yang dipecahkan," katanya.
Eddie berkata, dia dimaklumkan penduduk laporan polis telah dilakukan dan dimaklumkan bahawa suspek ditangkap namun tidak boleh dituduh di mahkamah berikutan tiada ugutan mahupun kecederaan dilakukan oleh suspek.
“Saya berharap polis akan melihat isu ini secara lebih serius agar pihak yang melakukan kesalahan ini dikenakan hukuman setimpal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan suspek telah ditahan untuk siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan