Isnin, 22 Oktober 2012

Kerana usia kini kurang mengacara

KL TODAY
 

Pengacara terkenal, Aznil Hj Nawawi berkata peralihannya kepada pengacaraan program berbentuk ilmiah dan serius kebelakangan ini bukan kerana dirinya sudah tidak relevan dengan program hiburan.Sebaliknya, Aznil, 50, berkata, ia adalah proses normal seiring dengan kematangan usia selepas 22 tahun berkecimpung dalam dunia penyiaran televisyen.

”Saya cenderung kepada program berbentuk ilmiah kebelakangan ini seiring dengan kematangan usia.

“Selepas 22 tahun dalam bidang ini, tiba masanya untuk saya berkembang kepada pengacaraan yang lebih serius dan bersesuaian dengan kepentingan negara dan tanggungjawab sosial.

“Saya tidak berkecil hati jika ada yang anggap saya sudah tidak relevan dengan dunia pengacaraan hiburan kerana saya sudah buktikan semuanya selama ini baik dari segi populariti mahu pun pencapaian,” katanya.

Bagaimanapun, Aznil berkata, peralihan itu tidak bermaksud dia tidak terlibat langsung dalam program hiburan cuma lebih mengutamakan program yang mempunyai pengisian dan konsep lebih ilmiah dan serius.

“Bukanlah bermakna saya tidak buat program hiburan langsung cuma saya pilih mengikut kesesuaian. Saya masih buat program hiburan jika ia mempunyai pengisian lebih ilmiah dan serius.

“Peralihan ini sekaligus membuka peluang kepada muka-muka baru dalam bidang pengacaraan program hiburan untuk menimba pengalaman mereka,” katanya.

Hos program On Air itu berkata, keutamaannya kini juga tertumpu pada pembentukan pengacara pelapis tanah air, selain projek-projek tanggungjawab sosial membabitkan sektor kerajaan dan swasta.

“Sejak dilantik sebagai Timbalan Presiden Personaliti Astro Bahagian Perniagaan Melayu pada Mei lalu, tumpuan saya kini adalah pada proses pembentukan pengacara-pengacara pelapis tanah air.

“Ilmu dan pengalaman yang ada wajar saya curahkan pada anak bangsa saya sendiri. Kini adalah masanya untuk saya menyumbang semula kepada bidang ini,” kata duta Sihat 1Malaysia Kementerian Kesihatan Malaysia ini.

Tiada ulasan: