Selasa, 16 Oktober 2012

Haramjadah: Keputusan teruskan saman 20 Dis

Khairil Abdul Rahim,
 
TEMERLOH: Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh, Datuk Akhtar Tahir hari ini menetapkan 20 Disember depan bagi keputusan meneruskan saman 8 orang peneroka sekitar Jengka terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggelarkan mereka 'haram jadah'.

Peguam mewakili 8 peneroka berkenaan, Harris Abdullah, berkata keputusan dalam kamar hakim itu menetapkan 30 Oktober ini bagi kedua-dua pihak memfailkan semua bukti.

[Gambar: Peguam Harris (di tengah) bersama 8 peneroka yang memfailkan saman terhadap Najib.]

Tambahnya, hakim berkenaan juga menetapkan tempoh tiga minggu dari hari ini kedua-dua pihak plaintif dan defendan bagi membuat penghujahan bertulis berakhir 30 November akan datang.

“Alasan utama peguam pihak defendan untuk mengenepikan kes ialah ucapan Najib (haram jadah) itu, tidak merujuk kepada 8 plaintif kerana beliau (Najib) tidak menyebutkan nama dan alamat (plaintif) secara khusus,” katanya.

Pada 7 Ogos lalu 8 peneroka berkenaan memfailkan saman terhadap  Najib di Mahkamah Tinggi Temerloh kerana menempelak dengan ungkapan menghina haram jadah terhadap mereka.

Saman tersebut difailkan setelah notis tuntutan maaf dan permintaan ditarik balik perkataan tersebut yang telah diserahkan kepada Najib selaku defendan, tidak diindahkan dan tiada sebarang respons.

Dalam writ saman tersebut Samat Yusof, Alias Ibrahim, Idris Mat Sah, Syed Jamaluddin Muhamed, Abdul Rahim Abdul Rahman, Rosdi Ismail, Abdullah Mohd dan Rakiah Sulong selaku plaintif mendakwa Najib mengeluarkan perkataan menghina itu pada 8 Mei lalu di Jengka 8.

Sedangkan Najib mengetahui ungkapan menghina yang diucapkan di hadapan lebih 40 ribu yang hadir di majlis mengumumkan durian runtuh itu dan liputan media boleh mempengaruhi memandangkan beliau pemimpin tertinggi negara.

Bagi mereka ungkapan haram jadah itu amat mengaibkan kerana membawa maksud mereka anak luar nikah, pengkhianat dan tidak bermaruah sehingga dianggap tidak layak menerima durian runtuh.

Dalam pada itu Harris menjelaskan, dalam penghujahan bertulis defendan bagi mengenepikan saman terhadap Najib ialah tuntutan plaintif satu penyalahgunaan proses mahkamah atas ketiadaan kausa tindakan  kerana plaintif-plaintif tidak merujuk atau mempunyai kaitan dengan defendan.

Tindakan plaintif juga didakwa mengaibkan, remeh dan menyusahkan.

Tambahnya lagi, defendan memberi alasan kegagalan plaintif untuk menyatakan kes terhadap defendan adalah satu kegagalan mandatori dan menjadikan tuntutan harus dibuang.

Najib selaku defendan diwakili peguam-peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Abu Bakar Isa Rahmat dan Abu Bakar Assidiq Datuk Sidik.

Tiada ulasan: