HULU SELANGOR Penderitaan bekas pemain bola sepak Selangor, Mohd Ezmi Mad Jan, 35 yang menghidap barah hidung atau limfoma sejak empat tahun lalu mendapat perhatian Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan Selangor, Dr Ahmad Yunus Khairi.
Dr Ahmad Yunus yang bersimpati dengan penderitaannya itu menghulurkan sumbangan kepada keluarga Mohd Ezmi di dalam satu lawatan ke rumah bekas pemain itu di Kampung Sentosa Tambahan, Batang Kali di sini.
Dr Ahmad Yunus Hairi yang ditemui selepas melawat Mohd Ezmi di berkata, beliau terpanggil untuk menziarahi dan memberikan sumbangan bagi meringankan beban keluarganya.
“Kita bersimpati terhadap nasib yang menimpa anak muda ini dan mendoakannya supaya segera sembuh,” katanya.
Turut hadir memberikan sumbangan adalah Majlis Sukan Negeri Selangor(MSNS) yang diwakili oleh Pengarah Eksekutif MSNS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.
Ibu Mohd Ezmi, Latifah Daud, 55, berkata, anaknya mula menunjukkan tanda-tanda awal serangan
kuman Limfoma sejak empat tahun lalu apabila dia kerap menghembus cecair daripada hidungnya.
Latifah berkata, apabila keadaan itu tidak berubah, dia menjalani pembedahan bagi membuang sesuatu yang menyekat pernafasannya.
Namun selepas itu keadaannya bertambah teruk hinggalah kesan yang dilihat sekarang.
“Kuman limfoma merebak dan memakan tisu-tisu hidung anaknya bermula di sebelah kiri sehingga menjejaskan keseluruhan hidung termasuk bahagian atas bibir,” katanya.
Ayahnya, Mad Jan Abdullah, 60, berkata, pakar perubatan mengakui tidak mampu merawat penyakit tersebut dan menyebabkannya mengambil ikhtiar melakukan rawatan tradisional.
“Anak saya ada harapan untuk sembuh tapi perlu pastikan lukanya kering dan bebas kuman bagi memudahkan doktor menggunakan tisu sesuai bagi menampal luka tersebut,” ujarnya.
Sehingga kini, keluarga Mohd Ezmi menerima bantuan daripada Jabatan Khidmat Masyarakat(JKM) berjumlah RM 300 sebulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan