Oleh Mohd Martin Kahar
KUALA LUMPUR : Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Dr Khaw Lake Tee yang mengetuai panel siasatan pendengaran awam Bersih 3.0 hari ini menempelak pelbagai soalan tidak relevan dan terlalu mendalam berhubung tafsiran undang-undang oleh pemerhati polis terhadap saksi.
Wakil polis, ACP Jamaluddin Abdul Rahman memohon mengajukan 50 soalan kebanyakannya berkaitan undang-undang kepada Timbalan Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong, selepas saksi itu membuat kenyataannya.
“Bersetujukah anda, dalam Perlembagaan Malaysia Artikel 10 (2)(A) menyatakan warganegara dilarang untuk bercakap, melahirkan fikiran sekiranya menggugat keselamatan negara dan menggugat ketenteraman awam?” soal Jamaluddin.
Soalan itu dibidas Lake Tee kerana terlalu komplikated dan tiada kaitan dengan fakta kejadian pada perhimpunan 28 April lalu itu.
“Soalan itu sepatutnya mengaitkan kepada fakta yang telah berlaku! Ini bukan soal undang-undang dan saya (hadir) di sini bukan untuk mengendalikan kuliah atau tutorial. Kita semua faham dengan Artikel 10,” tegasnya.
Sebelum itu, Leong berkata, kehadiran pasukan Majlis Peguam adalah untuk memerhati perjalanan perhimpunan serta layanan polis terhadap orang ramai.
Katanya, sepanjang berada di beberapa lokasi, keadaan terkawal dan aman sehingga polis melepaskan gas pemedih mata dan pancutan meriam air kira-kira 3.00 petang.
“Saya tidak merasakan perhimpuan ini salah kerana Ketua Polis Kuala Lumpur, Timbalan Komisioner, Datuk Mohamad Salleh menyatakan peserta boleh berhimpun di persekitaran Dataran Merdeka,” katanya.
Beliau kemudian menyerahkan keratan portal The Malaysian Insider bertarikh 27 April kepada panel Suhakam.
Dalam laporan tersebut, Mohamad Salleh telah mengadakan sidang media di ibu negara dan menyatakan peserta Bersih 3.0 boleh berhimpun di luar Dataran Merdeka seperti yang dirancang, tetapi akan menghadapi tindakan polis jika berarak atau menjalankan apa-apa bentuk protes jalanan.
Leong turut membidas kenyataan polis kononnya perhimpunan tersebut menyebabkan trafik di ibu negara lumpuh.
Katanya, trafik lumpuh bukan disebabkan perhimpunan itu, tetapi penutupan jalan di beberapa laluan utama termasuk sekatan jalan raya.
Menurut Leong lagi, polis juga melepaskan gas pemedih mata walaupun tiada ruang untuk peserta melarikan diri.
“Pada 3 petang, saya nampak asap rupa-rupanya gas pemedih mata. Selepas beberapa minit, apabila gas mula hampiri, kami buat keputusan untuk berganjak.
“Ketika saya berpusing, saya melihat polis menuju ke arah peserta dan menembak gas pemedih mata ke tengah-tengah peserta. Masa itu, saya berada di tengah-tengah orang ramai. Kanister gas pemedih mata jatuh berhampiran saya, dua kali.
“Kami semua tak dapat bergerak dengan pantas. Ada satu ketika kami semua tidak bergerak langsung dan sangat mustahil untuk berpatah balik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan