SABAH KINI |
SERAMAI
611 orang hilang tempat tinggal dalam kebakaran yang memusnahkan 81
rumah di Kampung Selamat, dekat Semporna hari ini. Pengawai Bomba dan
Penyelamat Semporna Mohd Razali Ag Ahmad berkata kebakaran itu turut
menyebabkan lima penduduk kampung berkenaan cedera ringan.
"Kelima-lima mereka dihantar ke Hospital Semporna untuk rawatan," katanya ketika dihubungi di Semporna.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 11.41 pagi.
Dua
jentera dengan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semporna
dengan bantuan sebuah jentera dan 12 anggota dari balai Tawau dan dua
jentera utiliti bersama tujuh anggota dari Kunak, berjaya mengawal
kebakaran pada pukul 1.50 petang.
"Ketika
tiba di lokasi, api sedang marak dan merebak dengan cepatnya. Kami
berjaya memadam kebakaran sepenuhnya pada pukul 3.53 petang," katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati jumlah kerugian yang dialami ialah kira-kira RM938,000.
Kampung Selamat yang terletak di pinggir pekan Semporna merupakan satu daripada perkampungan yang padat di daerah ini.
Sementara
itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN Senallang Datuk Seri Nasir Tun
Sakaran yang ditemui selepas melawat lokasi kejadian, berkata beliau
telah meminta jawatankuasa bencana alam Semporna untuk bertindak segera
membantu mangsa kebakaran.
Selain
ditempatkan sementara di Dewan Masyarakat Semporna, keperluan lain
seperti makanan juga akan disalur kepada mangsa, katanya. (Bernama)
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan