Jumaat, 19 Oktober 2012

18,009 Pemilih DUN Taman Templer Tidak Ada Alamat Lengkap - SPR

MSTAR ONLINE
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesan sebanyak 18,009 pemilih daripada 48,372 pemilih berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, Selangor, tidak mempunyai alamat lengkap.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata semakan dilakukan SPR sehingga suku tahun kedua tahun ini mendapati kesemua pemilih itu hanya meletakkan nombor rumah sahaja.

"Kesemua pemilih itu telah berdaftar sebelum Julai tahun 2002, pada ketika itu pangkalan data alamat pemilih yang disimpan oleh SPR tidak dihubung terus dengan rangkaian pangkalan data alamat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi Agensi Link-Up System (Sistem ALIS)," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau mengulas laporan akhbar Harakah bertarikh 15 hingga 18 Oktober lepas mengenai dakwaan Yang Dipertua PAS Selayang Zaidi Abdul Talib bahawa terdapat 12,296 pemilih berdaftar di Taman Templer yang mempunyai alamat mencurigakan.

Kamaruddin berkata pemilih yang tidak mempunyai alamat lengkap itu telah berdaftar dengan SPR antara 1961 dan Jun 2000.

"Pada masa itu, keperluan memberi alamat hanya untuk diisi pada borang permohonan bagi membantu SPR menentukan lokaliti pemilih. Bagaimapun, tidak ada keperluan untuk SPR merekod alamat lengkap dalam pangkalan data SPR pada masa itu.

"Hanya selepas 16 Julai 2002, SPR mula merekodkan alamat lengkap pemilih dalam proses pendaftaran pemilih berdasarkan kepada alamat direkodkan oleh JPN," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Zaidi mengemukakan senarai pemilih berjumlah 12,296 pemilih berdaftar yang mempunyai alamat yang mencurigakan untuk SPR melakukan semakan.

Selain itu, Kamaruddin berkata semua nama pemilih berdaftar telah disemak dengan JPN terlebih dahulu dan disahkan sebagai warganegara yang layak untuk mengundi.

Bagaimanapun, katanya pemilih berdaftar berhak membuat bantahan sekiranya wujud kecurigaan mengenai kemasukan nama ketika SPR mempamerkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (Rang DPT) selama 14 hari bagi setiap suku tahun.

Beliau berkata pihak yang tidak berpuas hati boleh membuat bantahan kepada Pendaftar iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri semasa tempoh pameran Rang DPT tersebut.

"SPR bersikap telus terhadap kes-kes bantahan berkaitan Daftar Pemilih dan tidak membuat keputusan berdasarkan kepada status kewarganegaraan tetapi melalui proses semakan dengan JPN," katanya. -BERNAMA

Tiada ulasan: