Selasa, 22 November 2011

TWU: Tubuh suruhanjaya siasat konsortium bas Transnasional rugi RM300j


KUALA LUMPUR ― Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan (TWU) menggesa Putrajaya menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat punca kerugian RM300 juta dialami Konsortium Transnasional Bhd (KTB) sehingga menyebabkan ia memberi kata dua mahu menghentikan khidmat di enam negeri bulan depan.

Setiausaha Agungnya Datuk Zainal Rampak berkata, siasatan perlu bagi menentukan kebenaran dakwaan bahawa syarikat berkenaan dikatakan tidak telus dalam perkara berkaitan pendapatan dan juga penjualan harta, kononnya dibuat untuk menambah modal.

“TWU kecewa dengan tindakan penutupan laluan yang tidak menguntungkan dibuat oleh KTB dan kami difahamkan syarikat telah menjual banyak hartanah yang dikumpul pengurusan lepas untuk menambah modal syarikat.

“Pekerja ingin tahu ke mana perginya wang jualan hartanah tersebut, perkhidmatan bas termasuk bas henti-henti di mana penjualan tiketnya dibayar secara tunai oleh penumpang tidak ada terma kredit yang terlibat dalam urusan tersebut,” kata bekas presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ini dalam satu kenyataan.

Semalam, KTB mengumumkan kemungkinan untuk menghentikan sepenuhnya perkhidmatan bas henti-henti Cityliner di enam negeri bulan depan sekiranya tidak ada pihak dapat membantu menyelesaikan masalah kerugian yang ditanggung syarikat berkenaan.

Pemberhentian perkhidmatan itu dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Pahang, melibatkan 80 laluan dan 400 buah bas.

Pengarah Eksekutif KTB Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata dengan kerugian kira-kira RM300 juta yang ditanggung kini, syarikat tersebut terpaksa bertindak begitu bagi mengelakkan daripada terus menanggung kerugian setiap tahun.

Dalam kenyataannya, Zainal mengingatkan KTB bahawa “permit bas yang dikeluarkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mensyaratkan bahawa mereka harus memberi perkhidmatan di semua laluan dan ia tidak hanya mengira laluan yang membawa keuntungan besar dan meninggalkan perkhidmatan yang merupakan jalan sosial.”

“Mengikut undang-undang, mereka hendaklah memberi notis ‘sekat masuk’ dalam tempoh 42 hari sebelum menyekat masuk. Jika (syarikat) melakukan kesalahan, penalti sekat masuk yang menyalahi undang-undang adalah dikenakan hukuman penjara bagi satu tempoh tidak melebihi satu tahun, atau denda tidak melebihi 1,000 atau kedua-duanya, dan satu denda tambahan sebanyak RM50 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan,” kata kenyataan tersebut.

Tengku Hasmadi berkata pihaknya akan berunding dengan kerajaan Negeri Sembilan dalam usaha membantu pihak syarikat menyelesaikan isu itu dan beliau berkata pihaknya juga belum menerima sebarang “hitam putih” dari pihak-pihak yang dikatakan berjanji mahu membantu menyelesaikan isu tersebut termasuk kerajaan-kerajaan negeri dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Begitu juga dengan kerajaan negeri Kelantan belum ada tindakan proaktif diambil... walaupun mereka pada dasarnya bersetuju membantu meringankan kerugian syarikat,” katanya.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan negeri memperuntukkan bantuan RM100,000 sebulan selama empat bulan kepada anak syarikat KTB, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK), yang mengendalikan perkhidmatan Cityliner di negeri itu bagi mengurangkan bebas kos operasi.

Tiada ulasan: