Rabu, 2 November 2011

Taklimat RO dijangka selesai November, persiapan SPR hampiri PRU-13


KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipercayai sudah berada di paras momentum yang tinggi untuk menguruskan pilihan raya umum ke-13 - dengan taklimat bagi 222 pegawai pengurus pilihan raya (RO) — mengambil kira jumlah kerusi Parlimen, dijangka selesai akhir bulan ini.

“Berdasarkan jadual yang telah diaturkan, sesi taklimat ini akan selesai dalam tempoh kira-kira sebulan,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar kepada The Malaysian Insider.

Sebalik sahaja pegawai-pegawai pengurus pilihan raya dan penolong masing-masing diberi taklimat mereka akan mengadakan taklimat kepada peringkat bawahan.

The Malaysian Insider difahamkan Selangor akan mengadakan taklimat peringkat bawahan minggu ini.

Setakat ini, SPR telah mengadakan taklimat kepada pegawai pengurus di Selangor, Kelantan dan Perak. Ia bermula pertengahan bulan lalu.

Ketika pilihan raya umum 2008, SPR telah menggunakan 222 pegawai pengurus dan 930 penolong pegawai pengurus.

Selain itu, ia juga menggunakan seramai 135,848 petugas pilihan raya dan 9,580 pembantu kepada pegawai pengurus.

Menurut Wan Ahmad, kira-kira satu pertiga pegawai pengurus pilihan raya merupakan muka baru, yang diambil ekoran kewujudan muka-muka baru di peringkat pihak berkuasa tempatan dan pejabat pegawai daerah.

Berdasarkan pengalaman tiga tahun lalu, kesemua 222 RO dan 930 penolong pegawai pengurus telah dilantik pada November 2007 dan diberikan latihan iaitu lima bulan sebelum pilihan raya yang diadakan pada 8 Mac 2008.

Sesi taklimat kepada mereka ketika itu berlangsung selama dua bulan dengan selesai akhir Januari 2008.

Mereka biasanya terdiri daripada pegawai-pegawai daerah, penolong-penolong pegawai daerah dan pegawai-pegawai kanan pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

Ketika ditanya sama ada SPR sudah berada di peringkat akhir persiapan menjelang pilihan raya umum ke-13 yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat, Wan Ahmad enggan berkata begitu.

Sebaliknya jelas beliau, “kami sudah bersiap sedia untuk menjalankan tanggungjawab... melakukan segala persiapan.”

“Banyak persiapan awal sudah dilakukan, sudah selesai... dan banyak lagi akan dilakukan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain, mencetak buku panduan, menyediakan daftar pemilih, soal logistik dan sebagainya,” kata beliau.

Usaha itu termasuklah menyediakan dan mewartkan pusat-pusat pengundian dan saluran-saluran tempat mengundi.

Wan Ahmad juga berkata, ada kerja-kerja persiapan yang dilakukan secara serentak di pelbagai peringkat di setiap negeri bagi menjimatkan masa.

“Selain itu langkah itu diambil bagi mewujudkan keseragaman dalam persiapan di semua peringkat,” katanya.

Wan Ahmad yakin pihaknya mempunyai masa yang cukup untuk membuat segala persiapan, lagi pun pilihan raya boleh diadakan dalam masa 60 hari.

“Ya, apabila Parlimen dibubar, masih ada masa 60 hari, apa yang penting ialah kita tidak mahu masalah-masalah lalu tidak berulang,” katanya lagi.

Kata beliau, jika ada masa pihaknya akan memberikan taklimat dan latihan pusingan kedua kepada petugas-petugas pilihan raya.

Berdasarkan maklumat semasa kini terdapat 12.2 juta pemilih berdaftar berbanding 10.9 juta yang layak mengundi pada pilihan raya umum 2008.

1 ulasan:

Dol Said berkata...

tahniah spr kerana anda dah membuat persediaan untuk menghadapi pru 13....semoga usaha anda ini tidak dikritik oleh mana2 parti atau individu yang kalah sewaktu pru...