Rabu, 16 November 2011

Selangorkini Capai Sasaran 150,000 Naskah Seminggu

Oleh Naeem Raffi


SHAH ALAM, : Permintaan hangat daripada rakyat Selangor terhadap naskah mingguan Selangorkini menyaksikan akhbar percuma kerajaan negeri itu mencapai sasaran 150,000 seminggu pada tahun ini.

Rekod menunjukkan peningkatan sebanyak 40,000 naskah berbanding tahun sebelumnya.

Penerbitan Selangorkini adalah dibawah tanggungjawab anak syarikat Kerajaan Negeri, Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB).

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pentadbiran dan urus kelola Selangorkini hanya melibatkan tujuh kekuatan tenaga kerja dengan kos RM207,000 setahun.

"Sehingga bulan Oktober 2011, 110,000 naskah Selangorkini berjaya dikeluarkan oleh CCSB telah membelanjakan RM2,676,000 untuk 40 edisi Selangorkini dengan jumlah 150,000 naskah seminggu.

"Manakala pada tahun 2010, edisi Selangorkini dengan jumlah 110,000 naskah setiap keluaran mingguannya dan diterbitkan dengan kos RM1,926,250 untuk biaya penerbitan dan pengedaran,"katanya.

Khalid berkata demikian ketika menjawap pertanyaan mulut daripada Adun Subang jaya, Hannah Yeoh di Sidang DUN hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid menjelaskan sebagai langkah penjimatan kos pengurusan, Selangorkini menggunakan khidmat unit grafik CCSB selain menolong pasukan editorial TVSelangor yang juga dibawah pengurusan CCSB.

Tiada ulasan: