Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru penganjur dan penyokong program Seksualiti Merdeka 2011 agar tidak meneruskan perjuangan dan kempen mereka. “Sedarlah bahawa gaya hidup seperti ini akan berdepan dengan kemurkaan Allah SWT selain ia membuka pintu kepincangan sosial dan budaya negara kita,” kata ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar). Beliau mengulas mengenai program yang dikenali sebagai Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya Queer Without Fear yang berlangsung semalam hingga 13 Nov 2011 di The Annaxe Gallery. Program itu kononnya berteraskan perjuangan human right, menuntut hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka. Sekilas pandang, kata Nasrudin mereka sedang memperjuangkan hak dan kebebasan dengan gaya hidup pilihan mereka dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia. Justeru itu, ujarnya mereka tidak lagi teragak-agak untuk mengiklan, memperjuang dan menganjurkan programnya secara terbuka. “Sungguhpun mereka tampil dengan prinsip perjuangan human right, Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri mengenai perkara ini, sementara Dewan Pemuda PAS Malaysia berpaksi teguh kepada ajaran Islam, justeru Islam adalah agama petunjuk dari Allah yang mencipta manusia,” tegasnya kepada Harakahdaily. Jelasnya, Islam adalah agama fitrah sementara fitrah manusia ialah hidup berpasang-pasangan lelaki dan perempuan. Justeru itu, katanya lagi perkahwinan yang sah di sisi Islam hanyalah perkahwinan yang melibatkan lelaki dengan pasanganya perempuan yang bukan mahramnya. Tambahnya, sementara perkahwinan atau hubungan sesama jenis adalah suatu noda yang dilarang oleh Islam ke atas penganutnya kerana ia jelas bertentangan dengan fitrah kejadian atau ciptaan manusia di atas muka bumi. Justeru, tegasnya Pemuda PAS menyeru penganjur dan penyokong program tersebut agar tidak meneruskan perjuangan dan kempen mereka ke arah menuntut kebebasan pada gaya dan cara hidup barat yang salah dengan norma, tatasusila, budaya dan agama. “Ia adalah satu bentuk kemungkaran yang tidak wajar diperjuang dan diamalkan, bahkan ia sangat menyentuh sensitiviti ummat manusia yang menjalani kehidupan normal,” jelasnya. Katanya, Dewan Pemuda PAS yakin, jika mereka mendapat bimbingan wajar dari pihak berkuasa agama dan lainnya yang berkaitan, perkara itu dapat dibendung dengan baik daripada terus menular lalu membentuk satu budaya. “Inilah rasionalnya Dewan Pemuda PAS menasihati dan menegur pemerintah agar tidak meluluskan penganjuran konsert icon gay Elton John di negara ini sebagai langkah menutup pintu-pintu mungkar yang mengundang kemurkaan Allah SWT,” ujarnya lagi. Tambahnya, walaupun dikatakan Elton John tidak akan menyeru rakyat Malaysia meniru gaya hidup gaynya, tetapi sudah cukup pengiktirafan yang diberikan kepada beliau menyuburkan budaya gay di Malaysia yang semakin hari semakin menular. Katanya, kebebasan bukan bermakna manusia bebas melakukan apa sahaja sehingga bertentangan dengan fitrah dan agama. Menurutnya, kalaupun seseorang tidak beragama sekalipun, akal yang masih dimiliki tidak mungkin membenarkan manusia melakukan apa sahaja di atas tiket kebebasan. Sebaliknya, kata beliau manusia mesti hidup berasaskan peraturan-peraturan tertentu yang mengikat komitmen dirinya agar tidak terbabas dari kebaikan dan kemuliaan. “Secara analoginya boleh saya contohkan seperti memandu kereta. Sungguh pun kereta itu milik kita yang sah, pula kita telah membayar road tax dan insuransnya, maka atas nama kebebasan lalu kita bebas untuk memandu laju tanpa menghirau peraturan lalu lintas. “Ini sangat merbahaya terutama pemanduan dengan had kelajuan melampau seperti 160 kmj di selekoh tajam yang bertanda 20 kmj. “Awas! Ini bukan lagi bebas tetapi babas,” katanya. |
Khamis, 3 November 2011
Seksualiti Merdeka: Bukan bebas tapi babas
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan