Rabu, 9 November 2011

SAPP lancar Dasar Reformasi Tanah Sabah

Yang menzalimi rakyat hari ini bukan British atau Jepun tetapi kerajaan kita sendiri, kata Yong Teck Lee.



KOTA KINABALU: Parti pembangkang Sabah, SAPP, atau Parti Maju Sabah melancarkan Dasar Reformasi Tanah (DRT) semalam, apa yang disifatkan para pemerhati sebagai langkah parti itu mendapatkan sokongan kaum Bumiputera di negeri yang sedang dilanda pelbagai masalah perebutan tanah adat di banyak tempat.

Presiden SAPP, Yong Teck Lee, dalam ucapannya pada pelancaran DRT, berkata dasar itu akan menjadi pegangan SAPP sekiranya parti berkenaan berjaya mendapat mandat membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya tidak lama lagi.

“Kerajaan kita akan mengembalikan hak rakyat bukan seperti kerajaan hari ini yang melakukan penindasan dan kezaliman kepada rakyat sendiri. Yang menzalimi rakyat hari ini bukan British atau Jepun tetapi kerajaan kita sendiri.

“Syarikat-syarikat yang telah diberi tanah begitu luas hanya mengira untung dan rugi tetapi bagi rakyat Sabah ini bukan soal untung rugi perniagaan tetapi soal hidup, soal kebudayaan dan cara hidup,” katanya.

Dasar berkenaan yang mempunyai 14 poin utama dilancarkan oleh salah seorang Penasihat SAPP, Mohd Noor Mansor, yang pada satu masa adalah Setiausaha Agung Berjaya ketika zaman kegemilangan parti itu memerintah Sabah selama sembilan tahun (1976-1985).

Beberapa ratus orang hadir pada pelancaran itu hari ini adalah terdiri daripada ahli dan penyokong SAPP, mangsa kena rebut tanah, pertubuhan bukan kerajaan seperti Pacos dan UBF (United Borneo Front) dan juga Suhakam yang diwakili Setiausahanya.

Mohd Noor dalam ucapannya antara lain menyebut belum pernah kezaliman seperti membakar rumah dan membakar perkuburan kaum pribumi pernah berlaku di Sabah sejak pemerintahan beradab, tetapi ia sudah berlaku sekarang di bawah pemerintahan Barisan Nasional yang dikepalai Umno.

“Tanah Sabah ini dikurniakan Tuhan kepada kita rakyat Sabah, bukan dikurniakan kepada orang seberang, kenapa rakyat kita sendiri pula dilayan sebegini rupa,” katanya merujuk kepada tayangan filem sebelum itu yang merakam pelbagai pencabulan terhadap hak tanah adat kaum pribumi di negeri kaya sumber tapi paling ramai orang miskin itu.

Dasar Reformasi Tanah SAPP itu antara lain menggariskan kerajaannya akan menghormati hak asasi anak negeri, mengambil balik tanah-tanah adat yang telah diberi kepada yang tidak berhak kepada pribumi yang berhak, membuka skim tanah penempatan pekebun kecil, memberi keutamaan kepada usahawan tempatan dalam pembangunan tanah komersial, perindustrian dan perumahan, jaminan pelanjutan pembaharuan tempoh tanah bergeran 99 tahun dan 999 tahun dengan opsyen melanjut sehingga 999 tahun geran yang bertempoh 99 tahun sekarang.

Memelihara perkampungan sedia ada dalam kawasan perbandaran, mengekalkan tanah simpanan perkampungan dan perkuburan serta kawasan padang ragut, mengkaji mengubah “geran komunal” balik kepada geran NT sebelum ini, dan mengemas kini pentadbiran tanah.

Yong dalam ucapannya juga berkata rekod kerajaannya pada 1997 menunjukkan bahawa jika kerajaan mempunyai hasrat untuk menyelesaikan masalah tanah rakyat, ia pasti boleh dibuat.

“Pada 1997, kerajaan masa itu pada tahun itu telah berjaya menyelesaikan 48,000 permohonan tanah termasuk 10,000 adalah geran NT. Ini kita buat dengan menambah komputer dan peralatan di Jabatan Tanah dan Ukur dan stafnya bekerja lebih masa. Jadi ia boleh dibuat jika kita mahu buat,” katanya.

Tiada ulasan: