Jumaat, 4 November 2011

RM2j rangsang kerjaya siswazah anak S'gor

MALAYSIA KINI

Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) memperuntukkan RM 2 juta untuk menganjurkan “Program Rangsangan Kerjaya Siswazah Selangor” untuk melatih dan memudahkan siswazah anak Selangor memperoleh pekerjaan atau memulakan perniagaan.

Bagi tahun 2011, sejumlah RM600,000 diperuntukkan untuk membiayai yuran penyediaan kursus dan latihan kepada siswazah. Baki RM1.4 juta telah diperuntukkan bagi menjalankan kursus sepanjang tahun 2012.

“Kami menganjurkan program ini melalui tanggungjawab sosial korporat semata-mata untuk melatih siswazah anak Selangor meningkatkan kemahiran dan kecekapan pengurusan” kata Pengerusi, Perangsang Selangor Raja Idris Raja Kamarudin.

“Kami juga yakin siswazah yang terlatih akan dapat menyumbang dengan lebih efektif dalam pekerjaan atau perniagaan yang mereka ceburi” jelas Raja Idris.

Program ini bermula dengan penyediaan kursus dan latihan yang sesuai dengan kelulusan siswazah. Latihan bertujuan untuk memudahkan siswazah menyesuaikan diri atau menempatkan diri di alam pekerjaan atau memulakan perniagaan.

Bagi kursus-kursus tertentu, pelatih-pelatih akan ditempatkan dalam Latihan Semasa Bekerja yang memungkinkan mereka mendapat pekerjaan yang relevan selepas tamat latihan intensif.

Bagi kursus keusahawanan pula, siswazah yang menyertainya akan dilatih untuk memulakan perniagaan.

Pelbagai jenis kursus dan latihan ditawarkan, seperti Sijil Program Pembangunan Kerjaya, Sijil Pembangunan Usahawan Muda, Sijil Perbankan dan Kewangan Islam dan Sijil Teknikal dan Bukan Teknikal.

Untuk peringkat permulaan, program terbuka kepada semua siswazah anak Selangor yang berkelayakan.

Jumlah pengambilan peserta bagi Sijil Program Pembangunan Kerjaya dianggarkan seramai 35 peserta, manakala Sijil Pembangunan Usahawan Muda seramai 1,000 orang peserta, Sijil Perbankan dan Kewangan Islam seramai 250 orang peserta dan Sijil Program Teknikal dan Bukan Teknikal pula seramai 400 orang peserta.

Melalui kursus Sijil Program Pembangunan Kerjaya, peserta akan didedahkan dengan kemahiran penulisan, kemahiran komunikasi, amalan dan pentadbiran profesional dan pengurusan diri yang berkesan di tempat kerja.

Sijil Pembangunan Usahawan Muda pula disusun untuk membentuk kemahiran peserta sebagai usahawan yang dedikasi, bersemangat waja, berfikiran jauh dan mempunyai daya saing tinggi.

Sementara itu, Sijil Perbankan dan Kewangan Islam pula memberi peluang kepada peserta mempelajari pengetahuan asas dalam perbankan dan kewangan Islam serta pengetahuan dalam kontrak perniagaan mengikut Syariah Islam.

Dalam siri Program Teknikal dan Bukan Teknikal peserta berpeluang mempelajari kemahiran dalam pengurusan perkakasan, mereka bentuk laman web, jaringan, pengurusan data dan analisis, SPC perisian dan prosedur kualiti.

Peserta juga berpeluang mengikuti kemahiran dalam pengendalian gentian optik dan jaringan, pengetahuan dalam pengurusan bunyi, kemahiran pemeriksaan ibu mengandung dan bayi serta pengurusan pensijilan halal Malaysia.

Secara umumnya setiap program kursus akan disusuli dengan tugasan dan peserta akan menduduki peperiksaan untuk menguji penguasaan mereka terhadap ilmu dan kemahiran yang diberi sepanjang kursus.

Hanya peserta berjaya memenuhi pencapaian yang ditetapkan akan mendapat sijil kursus, manakala yang tidak berjaya hanya akan diberi sijil kehadiran sahaja.

“Melalui program ini siswazah akan dapat meningkatkan nilai diri dan keyakinan diri untuk mendapatkan pekerjaan.

"Kursus-kursus yang disertai mampu meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang yang bersesuaian dengan kelayakan mereka.

"Sekiranya, mereka mengambil pengajian Islam, mungkin kita dapat membantu mereka menceburi bidang perbankan Islam.

“Peserta yang menyertai kursus usahawan akan menerima bantuan untuk mendapatkan projek dan kontrak serta memulakan perniagaan yang bersesuaian” jelas Raja Idris.

“Program ini juga bertujuan untuk mengurangkan kadar siswazah yang belum mendapat pekerjaan melalui tanggungjawab sosial korporat yang memanfaatkan secara langsung kepada rakyat Selangor” kata Raja Idris.

Kursus-kursus akan dikendalikan oleh empat buah institusi tempatan, iaitu Malaysian Institute of Management (MIM), Corporate Education Development Centre Sdn Bhd (CEDC), Pusat Pengajian At Tibyan dan Significant Technologies Sdn Bhd (SIGTECH).

Program akan tertumpu kepada latihan dan kemahiran teknikal dan bukan teknikal. Selepas menjalani latihan selama dua minggu, peserta akan dihantar mengikuti Latihan Semasa Bekerja. Semasa latihan selama 3 bulan, prestasi peserta akan dinilai oleh syarikat sebelum ditawarkan pekerjaan.

“Sebagai permulaan, kursus-kursus latihan yang ditawarkan adalah untuk siswazah berkelulusan diploma dan ijazah sahaja.

"Mungkin pada masa akan datang, kita boleh menyediakan peluang kepada rakyat negeri Selangor berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) serta mengadakan modul khusus untuk meningkatkan membantu pelajar menguasai pertuturan dalam Bahasa Inggeris” jelas Raja Idris.

Siswazah anak Selangor yang berminat untuk menyertai program ini boleh berhubung dengan Encik Mohd Ismail Zam Zam di talian 55103999 Sambungan: 260 atau e-mel: ismail@kdeb.com.- Bernama

Tiada ulasan: