Isnin, 21 November 2011

PRU: Amanat Najib sempena AGM Umno sasar pengundi muda

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Amanat khas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, yang julung kali diadakan khas bagi sayap Pemuda dan Puteri di sini hari ini, antara lain menekankan usaha transformasi politik dan persediaan parti menjelang pilihan raya umum ke-13.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata amanat yang disampaikan Najib (gambar) itu menetapkan rentak bagi membentuk minda dan suasana menjelang Perhimpunan Agung Umno yang akan bermula 29 November ini.

Amanat itu adalah permulaan yang cukup baik bagi perhimpunan yang akan diadakan nanti, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berkenaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Dipetik Bernama Online, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata taklimat itu turut menyentuh mengenai strategi untuk menawan negeri-negeri yang Barisan Nasional (BN) kalah, serta usaha mengekalkan kemenangan di negeri-negeri yang dimenangi pada pilihan raya umum 2008.

Ahmad berkata selain itu pada pilihan raya umum akan datang, pengundi muda merangkumi 38.8 peratus daripada 12 juta pengundi, dan mereka berusia dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun, dan memainkan peranan sebagai penentu kemenangan BN pada pilihan raya umum nanti.

Ke arah itu, katanya Pemuda dan Puteri Umno memainkan peranan penting dalam mendekati kalangan pengundi muda ini.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata Najib mahu Puteri dan Pemuda Umno lebih bersedia dalam menghadapi pilihan raya umum serta menerima dengan hati terbuka siapa calon yang dipilih nanti.

Beliau berkata Presiden Umno turut menekankan aspek kepentingan semua jentera Umno membantu memenangkan calon yang terpilih, dan tidak mengadakan sebarang sabotaj, sebaliknya memberi keutamaan kepada parti.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata acara yang julung kali diadakan sebelum Perhimpunan Agung Umno itu merupakan permintaan khusus kedua-dua sayap parti untuk memberi suntikan motivasi memandangkan pengundi muda adalah faktor penentu dalam pilihan raya umum akan datang.

“Selama ini amanat Presiden hanya diberi kepada ketua bahagian atau pemimpin atasan (peringkat) bahagian saja. Jadi hari ini kita dapat suntikan semangat sendiri daripada Presiden, dan ini menunjukkan bahawa jentera yang akan keluar untuk mendapatkan lima juta pengundi muda dihargai dan diberi semangat oleh Presiden parti,” katanya.

Khairy berkata Najib turut memberikan pengiktirafan terhadap semua program yang dilaksanakan pergerakan itu, seperti Karnival Kerjaya Pemuda BN, cuma Presiden Umno mahukan beberapa tambahan dibuat untuk memastikan bahawa peralihan pengundi muda kembali kepada BN.

Pemuda dan Puteri Umno turut mengambil berat saranan itu dan yakin hasrat yang dikehendaki Presiden parti mampu ditunaikan berdasarkan sokongan daripada generasi muda terhadap BN semakin baik dalam dua pilihan raya kecil terakhir, katanya.

Pada majlis itu, Pemuda dan Puteri melancarkan slogan baru “BN Pilihan Orang Muda” sebagai identiti baru pergerakan itu dalam usaha memberi lebih pilihan kepada pengundi sasar menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Mulai hari ini semua gerak kerja tertumpu kepada slogan itu, di mana identiti baru itu akan menjadi teras kepada kita.

“Dari dulu kita ada ‘Undilah Barisan Nasional’ sekarang kita segarkan semula bahawa generasi muda ada pilihan, kuasa ada di tangan mereka, pilihan setelah mereka lihat apa yang telah BN buat dan ditawarkan selama ini,” katanya.

Tiada ulasan: