Ahad, 20 November 2011

PKR: Zaid tiada peluang menang di PJS

MALAYSIA KINI

Ahli parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian yakin presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim tidak akan menang jika bertanding di kerusi parlimen itu pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut ahli parlimen PKR itu, ini kerana sejarah bekas menteri kabinet itu yang telah dua kali ‘lompat parti’ menjadi faktor rakyat tidak akan menyokong calon seumpama itu.

NONE“Saya hormat Zaid, tetapi amat sukar baginya untuk membolosi kawasan ini. Lagipun, penduduk tidak kenal Zaid dan beliau tiada pengaruh di kawasan ini,” katanya dipetik Sinar Harian.

Semalam, Zaid (berbaju gelap) memberitahu akhbar yang sama bahawa beliau sedang mengintai kerusi parlimen Petaling Jaya Selatan pada pilihan raya umum akan datang tetapi masih belum membuat keputusan muktmad.

“Saya belum buat keputusan muktamad sama ada Petaling Jaya Selatan (PJS), atau Petaling Jaya Utara (PJU),” katanya, tetapi mengakui, tumpuannya kini lebih pada PJS.

Alasan Zaid, adalah kerana beliau sudah biasa di kawasan itu, faktor pecahan kaum dan permasalahan rakyat yang masih belum terbela sepenuhnya.

Kerusi PJS milik Hee yang mengalahkan Datuk Donald Lim Siang Chai (BN) dengan majoriti sebanyak 5,706 undi pada 2008. Hee memperolehi 28,598 undi berbanding lawannya, hanya 22,892 undi.

Bagi kebanyakan penganalis dan juga pemimpin politik, KITA dianggap sebagai parti pengacau tetapi Zaid pada awal bulan ini menafikan label itu.

Sebaliknya, beliau berkata KITA akan meletakkan banyak calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 kerana ia mahu menjadi parti pemerintah.

Tiada ulasan: