Seperti rata-rata penduduk Malaysia, penduduk negeri Sarawak turut terkejut dengan gaya hidup serba mewah Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor. Kedua-dua mereka terpalit pelbagai skandal salahlaku antaranya skandal melibatkan perbelanjaan dana secara besar-besaran.
Ini termasuk cincin bertatah berlian bernilai RM24 juta, penyalahgunaan kuasa membabitkan jadual lawatan kerja rasmi yang disesuaikan dengan majlis pertunangan ahli keluarga, ditambah pula dengan kos penambahbaikkan dan ubahsuai kediaman rasmi Perdana Menteri - Seri Perdana.
Segala perbelanjaan ini bercanggah pula dengan amaran dan teguran dari dua menteri dari jabatannya sendiri iaitu Idris Jala dan Koh Tsu Koon – yang menyatakan bahawa Malaysia akan muflis jika pemimpinnya tidak menghadkan perbelanjaan, memotong subsidi dan mengurangkan pinjaman.
“Kita tidak mahu berakhir seperti negara Yunani (Greece) dengan jumlah terkumpul hutangnya bernilai EUR300 bilion. Ketirisan kewangan kita (deficit) melonjak kepada RM47 billion tahun lalu (2009). Jika kerajaan meneruskan pada kadar 12 peratus setiap tahun, Malaysia boleh muflis pada tahun 2019 dengan hutang terkumpul senilai RM1,158 bilion,” Idris yang dipetik oleh akhbar The Star pada 27 May tahun lalu.
Jangan berlebihan, ini duit kita
Pada masa sekarang, 2019 hanyalah tujuh tahun lagi dan pejalan kaki di kota cukup arif akan tempoh ini seraya menyeru pasangan pertama negara agar ‘tidak keterlaluan’ bila membelanjakan duit rakyat, sebaliknya menabung untuk hari hujan.
“Kamek (Saya) sik (tidak) setuju dengan perbelanjaan yang sesuka-hati Najib, serta bininya sebab dia orang sik (tidak) duli (peduli) kesusahan rakyat di Sarawak. Kitak (Kita) sepatutnya ada duit untok membina dan membaiki jalan-raya dan sekolah tapi sampai sekarang, jalan pun buruk-buruk, sekolah pun tua-tua. Sekolah anak kamek (saya) dipaksa pindah sik (tidak) lama lagi sebab tanah sekolah hanya disewa keluarga Ong, inilah hal yang di buat pihak perintah (kerajaan)!” ujar Dominic, supir van kepada Malaysia Chronicle sewaktu satu temuduga vox pop diadakan.
Satu lagi maklum balas yang diterima datang dari Albert, pegawai kerajaan; “Najib dan isterinya jangan menipu rakyat. Pegawai-pegawai berjawatan rasmi sering mengingkari batas sempadan kuasanya dan sebagai pegawai kerajaan, saya amat terkejut dengan pembaziran yang diberitakan.”
Muflis semakin hampir!
Ada ura-ura menyatakan yang kita akan jatuh muflis sebelum 2019 menjelang – kalau mengikut cara hidup dan tahap pembaziran pasangan pertama itu. Rakyat biasa tidak sekadar bercakap seperti melepaskan batuk di tangga, tetapi sebenarnya risau akan awan mendung yang tidak lama lagi akan sampai juga.
Berhadapan dengan harga barangan utama yang terus meningkat di bawah pentadbiran Najib, golongan berpendapatan rendah dan sederhana bukan sahaja terpaksa mengharungi kos sara hidup yang semakin mahal, tetapi mereka turut terkesan akibat nilai hartanah yang terus meningkat menyeebabkan mereka tidak lagi mampu memilikinya. Hanya segolongan kecil rakyat Malaysia yang mampu membeli rumah dan kereta sejak akhir-akhir ini. Mereka juga terpaksa akur dengan kualiti yang rendah, rumah yang dibina secara banyak atau kereta Proton yang sentiasa diselubungi masalah.
Pembentangan Belanjawan 2012 Najib yang terbaru ini dikatakan satu langkah untuk membantu golongan berpendapatan rendah, tetapi ia hanya dipenuhi dengan bantuan jenis ‘sekali-cukup’. Tidak ada rancangan jangka panjang atau jangka tengah yang disediakan demi meringankan beban yang ditanggung golongan miskin atau mereka yang akan terkesan akibat kadar inflasi yang meningkat.
Sebaliknya, Najib telah sekali lagi ‘membuka’ paip mengalirkan ‘ang pow’ dalam usaha memenangi hati rakyat untuk mengundinya dan parti gabungannya ketika pilihanraya umum kelak.
"Perdana Menteri dan isteri seharusnya mengamalkan langkah berjimat cermat dalam penggunaan wang hasil titik peluh rakyat. Kerajaan juga bertanggungjawab menunjukkan butiran perbelanjaan yang telah dikeluarkan,” Naib Presiden PKR, N. Surendran berkata dengan nada amaran.
Jejak-jejak perborosan
Setakat ini, satu laporan sah telah menunjukkan pada 31 Ogos, Hari Merdeka, Najib telah ke Perth, Australia untuk ‘lawatan peribadi’. Perdana Menteri dan keluarga mengambil kesempatan hari cuti umum tanpa memberitahu negara dan seterusnya melanggar protokol kerajaan dengan berbuat demikian.
Selain daripada itu, pemimpin ini juga masih gagal menjeaskan persoalan tentang penyalahgunaan dana awam ketika melakukan lawatan kerja rasminya ke Kazakhstan yang mana anak perempuannya telah bertunang. Lawatan ke negara itu telah menelan belanja sebanyak RM 1 juta. Tidak hairanlah kalau rakyat merasa terkejut mendengar berita itu.
Pembaziran Najib tidak setakat itu sahaja. Najib membazirkan jutaan ringgit hanya kempen perhubungan awamnya. Syarikat yang dibayar iaitu FBC Media sekarang ini diduga telah melanggar etika kerja selepas ia cuba ‘menggilap’ imej positif Najib di mata dunia. Siasatan sedang dilakukan oleh Penyelia negara UK terhadap syarikat FBC yang sudah tentu boleh memalukan Najib dan nama baik Malaysia secara umumnya.
Pengubah-suaian yang dilakukan pada Seri Perdana bagi menonjolkan citarasa ‘Sang Raja’ turut dikecam rakyat Malaysia. Laporan yang dikeluarkan menunjukkan Najib dan isteri telah membelanjakan sebanyak RM48.8 juta. Penggunaan elektrik oleh mereka sahaja sebanyak RM10 juta, manakala bil air mencatatkan RM1.9 juta setahun.
Namun, yang terus mengundang pelbagai persoalan ialah cincin bertatah berlian bernilai RM24 juta (namun ada yang menyatakan ianya USD24 juta) – milik Rosmah yang dikatakan ditempah khas dari kota New York. Walaupun Najib menafikan isterinya telah membeli cincin permata gergasi itu, dan pejabatnya telah mengesahkan yang cincin itu ‘tiada’ di dalam negara, hanya segelintir rakyat yang percaya bahawa Wanita Pertama itu kecur air liur mahu memilikinya kalau tidak kerana berita panas.- Malaysia Chronicle
Tiada ulasan:
Catat Ulasan