Khamis, 3 November 2011

Audit: Wujud FAC kaji ketirisan berulang

Muhammad Faizal


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) menggesa agar sebuah Suruhanjaya Kebertanggungjawaban Kewangan (FAC) diwujudkan segera bagi meneliti semula Laporan Ketua Audit Negara atas perkara ketirisan yang sentiasa berulang setiap tahun.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang ditemui di parlimen menjelaskan penubuhan FAC adalah amat perlu disegerakan memandangkan laporan audit tersebut banyak kepincangan berlaku pada setiap kementerian.

"Setiap kali keluar laporan audit kita melihat perkara yang sama berlaku perbelanjaan di luar jangka, pembelian tanpa kelulusan mahupun ketirisan tender-tender kerajaan serta pemilihan kontraktor yang tidak layak.

"Sebagai contoh pembelian kuda tetapi tidak digunakan kerana tidak dapat bersaing serta satu lagi isu pinjaman RM55 bilion oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah dibuat kepada tiga belas penerima dan akhirnya kita dapati ia adalah kerajaan sendiri.

"RM55 bilion itu bukannya satu nilai yang kecil dan perlu penilai semula terhadap laporan audit," jelasnya.

Tambah Dr Dzulkifly lagi penubuhan FAC perlu terdiri dari mereka yang bebas dari ikatan kerajaan seperti juruaudit luar yang mahir dalam bidang perakaunan serta mereka yang mempunyai pakar dalam peringkat undang-undang.

Dr Dzulkefly juga memberitahu penubuhan FAC mesti berbeza dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mana PAC terdiri daripada ahli-ahli parlimen dari Pakatan Rakyat dan juga Barisan Nasional, yang bertindak sebagai audit dalaman, manakala FAC perlu terdiri dari badan yang bebas.

"FAC perlu bebas untuk melakukan pemeriksaan semula setiap kementerian mengikut laporan audit itu dan bila dikenal pasti wujud kesilapan mahupun penyelewengan dalam perbelanjaan peruntukan maka tindakan perlu diambil.

"Setiap tindakan yang akan diambil bukan hanya tertumpu kepada kakitangan kerajaan tetapi is perlu melibatkan menteri dan timbalan menteri," sambungnya lagi.

Katanya, kerajaan perlu dengan segera mewujudkan FAC sebagai bukti bahawa ada ketelusan dalam pentadbiran Perdana Menteri dalam menangani soal ketirisan perbelanjaan pada setiap kementerian.

"Jika Perdana Menteri mengatakan beliau telus dalam pentadbiran untuk mengatasi ketirisan perbelanjaan maka FAC perlu diwujudkan segera," ulasnya lagi.

Tiada ulasan: