Jumaat, 18 November 2011

MB: Undi Pakatan untuk gaji minima

Jika rakyat Malaysia mahu gaji minima dilaksanakan, mereka boleh bertindak dengan menukar pemerintah pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.



DUN SELANGOR

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menggesa rakyat di negara ini menyokong usaha kerajaan negeri dalam pelaksanaan gaji minima sambil menyifatkan kerajaan Persekutuan masih gagal berbuat sedemikian.

Abdul Khalid berkata jika rakyat Malaysia mahu gaji minima dilaksanakan sedangkan kerajaan Persekutuan gagal melakukannya, maka mereka boleh bertindak dengan menukar pemerintah pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

“Saya tidak mahu isu ini jadi buah mulut orang sedangkan tugas untuk tentukan gaji minima ini terletak di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan. Pelaksanaan gaji minima ini menunjukkan kerajaan negeri mampu lakukan.

“Rakyat mesti sokong usaha ini agar kerajaan Persekutuan memutuskan adanya gaji minima ini. Jika Malaysia mahu gaji minima ditetapkan dan tahu kerajaan Persekutuan tidak mampu lakukan maka mereka perlu tukar kerajaan pada PRU-13.

“Ini juga sebagai inspirasi kepada masyarakat Malaysia bahawa gaji minima boleh dilakukan. 30 tahun dulu ia tidak boleh dilakukan,” katanya ketika sesi perbahasan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Beliau menafikan bahawa pelaksanaan gaji minima ini membelakangkan pegawai kerajaan lain dengan hanya membantu rakan bisnes dan kakitangan GLC negeri.

Putar belit

Beliau sebaliknya berkata pihak pembangkang (Umno-Barisan Nasional) menggunakan kenyataan sedemikian memutar belit usaha kerajaan negeri.

“Pelaksanaan gaji minima ke atas kakitangan GLC ini memandangkan kita mempunyai kuasa pentadbiran dan mengambil kira keupayaan pengurusan yang boleh dipantau.

“Saya tidak mahu perkara ini digunakan pihak pembangkang Umno-BN dengan berkata kerajaan Pakatan asyik membantu GLC dan membelakangkan beribu pegawai kerajaan lain. Malah saya tengok tweet yang kata saya menolong orang bisnes tapi bukan penjawat awam lain. Itu kenyataan yang cuba di putar belit,” tegasnya.

Rabu lalu, Abdul Khalid mengumumkan kerajaan negeri akan melaksanakan gaji minima sebanyak RM1,500 sebulan bagi kakitangan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri, bermula tahun 2012.

Perlaksanaan ini akan dilaksanakan bagi kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Worldwide Holdings Bhd. bermula tahun 2012.

Bagi syarikat-syarikat yang mempunyai status kewangan yang tidak stabil, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan dana RM10 juta supaya kenaikan gaji dapat dilaksanakan.

Tiada ulasan: