Jumaat, 18 November 2011

Mahasiswa UMS serah memo isu caj elektrik

Antara masalah yang dihadapi oleh mahasiswa berkenaan isu ini adalah tiada makluman awal berkenaan perubahan caj yang dikenakan kepada mahasiswa.



KOTA KINABALU: Sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyerahkan memorandum keduanya berkenaan isu caj elektrik kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA), Dr Kassim Mansur.

Penyerahan memorandum tersebut diwakili Naib Presiden Pembangunan Insan, Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) Khairuddin Daud.

“Hari ini, kita telah menghantar memorandum kedua berkenaan isu caj elektrik yang dikenakan kepada mahasiswa.

“Antara masalah yang dihadapi oleh mahasiswa berkenaan isu ini adalah tiada makluman awal berkenaan perubahan caj yang dikenakan kepada mahasiswa.

“Dan masalah dari sudut kaedah pembayaran yang dikenakan kepada mahasiswa, di mana mahasiswa perlu membayar yuran ini semasa cuti semester melalui Cimb Cliks,” katanya kepada sidang media selepas penyerahan memorandum itu kelmarin.

Menurut Khairuddin lagi, sekiranya mahasiswa tidak menjelaskan pembayaran, mereka tidak dapat mendaftar subjek. Sedangkan pada masa tersebut, rata-rata pinjaman PTPTN untuk mahasiswa belum diperoleh.

Mahasiswa dilaporkan memberi tempoh sehingga 21 November 2011 kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) untuk mempertimbangkan resolusi yang dicadangkan serta memberi jawapan menyeluruh berkaitan kadar caj tersebut.

“Di peringkat mahasiswa, memerlukan kata putus daripada TNC HEPA berkenaan isu ini. Antara resolusi yang dicadangkan adalah tidak mengenakan caj yuran elektik kepada mahasiswa tahun 2 bagi semester ke-2 sesi 2011/2012.

“Ini bertujuan membayar semula caj elektrik yang berlebihan dikenakan kepada mahasiswa tahun 2 dan ke atas,” ujarnya.

Penyerahan memorandum itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pelajar MPM UMS, Voon Hai Leed; Pengerusi Gamis Sabah, Asmi Basri dan beberapa pimpinan mahasiswa.

Tiada ulasan: