Sabtu, 19 November 2011

KPF : Jangan Ulangi Kesilapan NFC!

.Oleh RIDUAN MOHD NOR

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) memandang serius dakwaan bahawa pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) sebagai tidak sah dan ikut pintu belakang. Bagi DPP Malaysia, isu ini sangat berat dan perlu disiasat segera kerana dianggap sebagai mengkhianati amanah rakyat khususnya peneroka Felda.

DPP Malaysia hairan bagaimana Tan Sri Isa Samad boleh diangkat menjadi Pengerusi KPF sedangkan beliau tidak layak menjadi ahli KPF kerana beliau bukan peneroka dan bukan kakitangan Felda. Mengapa kerajaan tidak memikirkan seorang tokoh lain yang ada kaitan rapat dengan Felda untuk diangkat sebagai Pengerusi Felda dan KPF. Tindakan ini mungkin boleh mengelakkan pertikaian banyak pihak

DPP Malaysia mempersoalkan mengapa perlu campurtangan Perdana Menteri sedangkan KPF mempunyai Ahli Lembaga Pengarahnya sendiri dan mereka mempunyai ahli jawatankuasa yang dilantik dalam mesyuarat agung melalui saluran yang betul?

Sepatutnya Perdana Menteri atau mana-mana Menteri Kabinet yang lain menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Mesyuarat Agung KPF yang telah melantik Datuk Dzulkifli Wahab sebagai Pengerusi. Tan Sri Isa Abdul Samad tidak perlu dilibatkan dalam hal ini kerana beliau tidak ada kena mengena dalam isu KPF.

Bagi DPP Malaysia, campurtangan politik dalam sesuatu urusan yang berkaitan dengan agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) amat menyusahkan organisasi tersebut. Ia juga mengundang keresahan rakyat jelata. Inilah yang menyebabkan banyaknya birokrasi, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, tidak telus, kronisme, campurtangan ‘orang luar’ dan lain-lain lagi.

Dalam keadaan banyak skandal pemimpin negara dibongkarkan termasuk penyelewengan dana projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) serta pembelian kondominum mewah bernilai RM 9.8 juta, dan banyak lagi isu lain, DPP Malaysia mengingatkan agar PM mengambil iktibar dan pengajaran berharga. Biarkan Felda dan Koperasi Permodalan Felda diuruskan oleh mereka yang benar-benar berhak dan layak bagi menjaga kepentingan semua pihak.

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: