Isnin, 14 November 2011

Kerajaan Selangor Pergiat Promosi Produk Warisan Dan Kebudayaan


Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM: Dalam usaha menjadikan Selangor sebagai tarikan destinasi pelancongan, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) telah menyediakan pelbagai perancangan dan pembangunan khusus untuk mengetengahkan produk warisan dan kebudayaan.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, perancangan daripada aspek promosi sentiasa dipertingkatkan malah giat dilaksanakan sama ada di dalam dan luar negara.

Menurutnya, maklum balas yang diterima hasil daripada promosi yang dibuat juga adalah menggalakkan.

Perkara itu dinyatakan Elizabeth ketika menjawab soalan Gan Pei Nei (PKR-Rawang) berhubung perancangan Kerajaan Selangor bagi mewujudkan destinasi tarikan pelancong khasnya tempat warisan dan kebudayaan yang berpotensi untuk menarik pelancong.

“Terdapat beberapa destinasi dan produk pelancongan yang berasaskan warisan dan kebudayaan yang kini mendapat permintaan dan menjadi antara tumpuan pengunjung dan pelancong.

Destinasi dan produk-produk pelancongan tersebut ialah Muzium Sultan Alam Shah, Muzium Daerah Sabak Bernam, Muzium Daerah Kuala Selangor, Istana Bandar Jugra, Bukit Malawati, Bukit Belanda, Hertitage Walk, Galeri DiRaja Sultan Abdul Aziz, Dong Zen Monastery dan Bukit Fraser,” katanya.

Selain itu, penganjuran pelbagai acara di kawasan atau lokasi produk warisan dan kebudayaan juga merupakan antara strategi kerajaan negeri dalam memperkenal dan mempromosi produk-produk tersebut.

Antaranya, Karnival Fotografi Warisan Selangor, Foodster Blogging Competition, Pesta Kajang, Festival Bon Odori dan sebagainya.

Disamping itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan UPEN Selangor turut menganjurkan pelbagai program seperti Bazar Kraf Negeri Selangor, Kembara Kraf Negeri Selangor bersama media dan pelancaran Logo Kraf Negeri Selangor.

“Kraftangan yang merupakan antara tinggalan warisan dan kebudayaan adalah antara entiti terpenting dalam menonjolkan kepelbagaian produk dan destinasi pelancongan di Selangor.

Ini secara langsung telah membantu mempromosikan kebudayaan dan produk pelancongan warisan seperti Orang Asli Mahmeri di Pulau Carey, budaya seni pembuatan tembikar India di Kuala Selangor, seni kraf songket dan batik Selangor di Shah Alam dan Sepang,” ujarnya.

Program-program itu adalah seperti Bazar Kraf Negeri Selangor, Kembara Kraf Negeri Selangor bersama media dan pelancaran Logo Kraf Negeri Selangor.

Tiada ulasan: