Ahad, 20 November 2011

DPM: BN tidak hanya bergantung kpd Sabah dan Sarawak utk menang

MALAYSIA CHRONICLE



LABUAN - Barisan Nasional (BN) tidak hanya bergantung kepada Sabah dan Sarawak untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang, tetapi juga kepada negeri lain di Semenanjung, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun kedua-dua negeri dan juga Labuan disifatkan sebagai deposit tetap bagi BN, gabungan itu sepatutnya berupaya memenangi semula negeri lain yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

“Kita sepatutnya berupaya menawan semula negeri-negeri lain yang kini diperintah pembangkang pada pilihan raya umum akan datang," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan sehari ke Labuan hari ini.

Muhyiddin berkata, fokus dan perhatian samarata diberikan kepada semua negeri termasuk yang ditadbir pembangkang kerana kerajaan BN sentiasa mengamalkan sikap adil.

"Kami akan terus mengekalkan pendekatan 'touch point' dalam membantu rakyat. Kami mahu rakyat tahu yang kami prihatin dan ikhlas dalam membantu mereka,” katanya.

Mengenai keputusan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang, Muhyiddin berkata langkah itu tidak akan menjejaskan undi kaum Cina pada pilihan raya.

“Kami (BN) menghargai keputusan itu. Ia tidak akan mendatangkan sebarang kesan kepada kami dalam pilihan raya. Kami percaya beliau telah membincangkannya dengan anggota parti. Apa yang lebih penting ialah parti (Gerakan) akan terus bekerjasama dengan BN,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN mengadakan perjumpaan tertutup dengan UMNO Labuan dan parti komponen BN negeri dan diberikan taklimat mengenai persediaan pilihan raya oleh pemimpin UMNO.

“Saya berpuas hati dengan taklimat yang diberikan. Isu perpaduan yang pernah dibangkitkan sebelum ini tidak harus dipersoalkan lagi. Semuanya baik, saya tidak melihat sebarang masalah mengenai perpaduan di pulau ini," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: