Jumaat, 11 November 2011

Desak Shahrizat lepas jawatan

Oleh : Wartawan Sinar Harian

Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR - PKR mendesak Menteri Pem­bangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletak jawatan dalam Kabinet dan Ketua Wanita Umno berikutan kontroversi National Feedlot Corporation (NFC).

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, ini adalah soal tanggungjawab kerana ia memba­bitkan wang rakyat ber­jum­lah RM250 juta yang diberikan kerajaan kepada syarikat milik keluarganya.

“Beliau seharusnya me­ngutamakan kepentingan Bari­san Nasional (BN) dan tindakan paling hormat adalah meletak jawatan, sama ada dalam Kabinet ataupun parti.

“Ini bukan serangan peribadi, tetapi hak rakyat yang kami mempertikaikan kerana prestasi syarikat NFC tidak menepati sasaran,” katanya.

Zuraida berkata, ramai lagi petani dan penternak memerlukan dana kerajaan berbanding syarikat tersebut.

Menurutnya, Shahrizat seharusnya memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan. Ini kerana beliau masih belum menjawab persoalan yang ditimbulkan.

Sebelum ini Shahrizat mendakwa tindakan pembang­kang membangkitkan isu NFC merupakan serangan peribadi.

Menurutnya, ia adalah agenda politik pembangkang dalam cubaan untuk melemahkan semangat Wanita Umno, malah isu tersebut telah diberi penerangan oleh menteri berkaitan.

Tiada ulasan: