MALAYSIA KINI
Wakil rakyat DAP mengepalai usaha mencari terowong rahsia bawah tanah sepanjang dua kilometer di Ipoh untuk dijadikan daya tarikan pelancong di negeri yang baru dikuasai parti itu.
M Kulasegaran, ahli parlimen Ipoh Barat, berkata terowong misteri akan dikesan mulai bulan depan dengan kerjasama dua bekas pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang mendakwa pernah memasukinya, sekitar tahun 1960-an.
Menurut Bernama, wakil Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan turut menyertai usaha mengesan terowong peninggalan penjajah Inggeris yang didakwa menghubungkan empat bangunan warisan di situ.
Dua pekerja yang pernah bertugas di bangunan Dewan Bandaran Ipoh - sebelum ini dijadikan pejabat ketua polis Perak - diminta menolong mencari jalan masuk ke terowong berkenaan yang dipercayai dibina sekitar 1940-an.
Kulasegaran berkata demikian selepas melawat bangunan Dewan Bandaran Ipoh hari ini.
Seorang bekas pekerja itu S Arumugam, 73, yang turut menyertai
lawatan itu berkata beliau pernah memasuki terowong itu sekitar 1960 semasa masih bekerja dengan MBI.
Beliau mendakwa pintu masuknya mempunyai tangga dan terletak
di bahagian hadapan bangunan dewan berkenaan, lapor agensi berita itu lagi.
Tambahnya, terowong itu mampu memuatkan tiga orang dalam satu masa dan kelihatan seakan-akan longkang besar dengan ketinggian antara 1.5 hingga 1.8 meter.
"Laluan di sepanjang terowong terbabit mempunyai lampu di bahagian kiri dan kanan untuk memberi pencahayaan sempurna supaya mereka yang melaluinya dapat melihat dengan lebih jelas," Arumugam dipetik berkata.
Kulasegaran menambah, terowong itu dipercayai digunakan oleh
pihak berkuasa Inggeris untuk menghubungkan bangunan berkenaan ke mahkamah dan stesen kereta api untuk membawa penjenayah berbahaya seperti pengganas komunis.
Katanya lagi, jika berjaya ditemui, terowong berkenaan akan menjadi satu produk pelancongan di negara ini sama seperti yang ditemui di Vietnam dan Singapura.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan