Jumaat, 12 Disember 2008

PPP pecat S. I. Rajah

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA


KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin Parti Progresif Rakyat (PPP) hari ini membuat keputusan memecat Penasihat parti itu, S. I. Rajah berikutan tindakan beliau yang mahu Datuk M. Kayveas meletakkan jawatan sebagai Presiden parti.

Keputusan memecat Rajah yang berkuat kuasa serta-merta itu dibuat dalam mesyuarat Lembaga Disiplin parti itu pagi ini.

Ia kemudian diumumkan selepas Majlis Tertinggi PPP mengadakan mesyuarat petang ini bagi mengesahkan keputusan tersebut.

Menurut Naib Presiden PPP, Datuk Maglin D’Cruz yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin parti itu, surat pemecatan Rajah akan diserahkan kepadanya dalam masa terdekat.

“Pemecatan beliau adalah muktamad dan sebarang rayuan tidak akan dilayan. Perkara ini serius kerana Rajah telah bersikap tidak menghormati Presiden,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Rajah yang juga bekas Presiden PPP mencadangkan Kayveas meletakkan jawatan kerana telah menyatakan hasratnya meninggalkan Barisan Nasional (BN) jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dipinda.

Menurut Rajah, PPP tidak akan meninggalkan BN sebaliknya beliau melihat Presiden parti itu yang perlu keluar kerana memberikan kata putus secara bersendirian tanpa membuat sebarang referendum atau persetujuan ahli-ahli akar umbi.

Akhir bulan lalu, Kayveas semasa merasmikan persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita PPP telah menyatakan bahawa partinya akan meninggalkan BN jika kerajaan tidak membuat sebarang pindaan yang bersesuaian terhadap ISA sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Beliau ketika itu berkata, kerajaan seharusnya berdepan dengan gesaan masyarakat supaya membuat pindaan ke atas ISA dalam senario politik dan sosial masa ini dengan ramai berpendapat akta tersebut telah disalahgunakan untuk menyekat kebebasan bersuara.

Mengulas lanjut, menurut Maglin, pemecatan Rajah wajar kerana beliau tidak banyak menyumbang kepada parti.

Tiada ulasan: