MALAYSIA KINI
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyelar kakitangan awam yang mengugut kontraktor yang mengadu mengenai kelambatan mereka memproses permohonan mengkaji semula kontrak berikutan kenaikan harga barang.
"Apa untung kita delay (lambatkan) permohonan itu. Dahlah itu, ugut pula orang yang buat aduan tentang kelambatan itu.
"Oh...orang ini dah ada kabel besar, tahulah dia nanti," katanya di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, lapor Bernama.
Perdana menteri berkata, kelambatan tersebut bukan sahaja boleh menyusah serta merugikan kontraktor, tetapi rakyat sendiri yang rugi kerana tidak berpeluang menikmati pembangunan yang dijanjikan.
Menurutnya, tindakan kakitangan awam itu tidak menepati etika untuk mempercepatkan perkhidmatan kepada rakyat.
Walaupun hanya dua tiga kakitangan awam yang terbabit, ia memberikan nama tidak baik kepada perkhidmatan awam, katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kakitangan awam mempercepatkan proses permohonan mengkaji semula harga kontrak berikutan kenaikan harga barangan.
Beliau juga menyentuh mengenai kelambatan pihak bank memberi pinjaman kepada kontraktor kerana tindakan itu turut menyusahkan kontraktor.
Katanya, usaha untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam menunjukkan kejayaan apabila terdapat tanda-tanda seperti peningkatan daya saing negara serta kejayaan menarik pelaburan asing.
Pertumbuhan ekonomi
Perdana menteri juga berkata, kerajaan mensasarkan pertumbuhan
sekurang-kurangnya 3.5 peratus bagi suku keempat untuk membolehkan pertumbuhan keseluruhan ekonomi negara mencapai 5.5 peratus tahun ini.
Beliau berkata, ekonomi negara telah mencapai pertumbuhan 4.7 peratus bagi suku ketiga tahun ini.
"Jika kita dapat capai pertumbuhan tahun ini 5.5 peratus, ia adalah sangat-sangat baik," katanya.
Bagaimanapun, katanya momentum kecekapan perkhidmatan awam perlu dipertingkatkan lagi.
Mereka perlu memberi perhatian kepada pakej ransangan ekonomi bagi membolehkan projek-projek di bawah pakej itu dilaksanakan dengan cepat agar rakyat dapat menikmati faedahnya.
"Kita nak domestic consumption (penggunaan domestik) meningkat dan ekonomi negara juga meningkat," katanya sambil menegaskan bahawa tiada kejayaan di
peringkat global jika tiada kejayaan di peringkat domestik.
Abdullah juga menegur peniaga yang masih enggan menurunkan harga barang walaupun harga minyak telah turun dan kalau ada penurunan pun ia hanya melibatkan bukan barangan keperluan harian.
"Kerajaan akan terus berusaha untuk memperbaiki keadaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan