Isnin, 15 Disember 2008

Penjamin dan cagaran tidak lagi sesuai dijadikan syarat pinjaman, kata Noh Omar

mstar online


JOHOR BAHARU: Penjamin dan cagaran tidak lagi sesuai dijadikan syarat pembiayaan kepada usahawan yang memerlukan modal bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar.

Oleh yang demikian katanya, cara atau skim-skim baru harus diperkenalkan agar dapat membantu para usahawan mendapatkan pinjaman di samping menggalakkan mereka membayar semula dalam tempoh yang ditetapkan. "Syarat-syarat yang kita tetapkan selama ini yang memerlukan penjamin dan cagaran tidak lagi sesuai sekarang kerana tidak ramai orang yang berani menjadi penjamin kepada peminjam dan tidak ramai juga yang mempunyai harta untuk dijadikan cagaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Seminar Pembiayaan Perniagaan anjuran kementeriannya di Pulai Spring Resort di sini semalam.

Seminar dua hari yang bermula Sabtu itu dihadiri kirakira 100 pegawai dari enam agensi pembiayaan di bawah kementerian itu iaitu Bank SME, Bank Rakyat, Mara, Tekun, Permodalan Nasional Berhad dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Katanya, salah satu syarat baru yang mungkin boleh diperkenalkan oleh agensi pembiaya ialah mewajibkan peminjam menghadiri kursus yang dianjurkan Mara selama beberapa bulan sebelum permohonan pinjaman mereka diluluskan.

Noh berkata, syarat pinjaman kepada golongan siswazah juga harus berbeza daripada golongan biasa kerana dengan pengetahuan yang mereka ada, mereka boleh berjaya dan pergi jauh dalam perniagaan mereka.

"Ini dapat menyelesaikan masalah ayam dan telur di mana peminjam boleh mendapatkan modal dengan mudah dan pihak pembiaya mendapat jaminan bayaran terhadap kemudahan pembiayaan yang mereka berikan," katanya.

Menurut beliau lagi, mekanisme kutipan bayaran pinjaman juga tidak harus terlalu tegas lebih-lebih ketika kelembapan ekonomi dunia pada masa ini.

Katanya, perlu ada fleksibiliti bayaran di mana sedikit bayaran sahaja dikutip ketika peminjam menghadapi tempoh sukar dan lebih banyak bayaran dikutip ketika perniagaan mereka dalam keadaan optimum.

Pemberian diskaun kepada mereka yang melangsaikan pinjaman awal dan insentif kepada pembayar yang baik boleh menggalakkan peminjam membayar pinjaman mereka dan mengurangkan lagi masalah pinjaman tidak berbayar (NPL) yang dihadapi agensi pembiaya, katanya.

Pada masa ini, katanya, NPL bagi Tekun ialah 29 peratus; Bank Rakyat (1.91 peratus); Bank SME (8 peratus); Mara (7.67 peratus); Suruhanjaya Koperasi malaysia (13.8 peratus); dan Perbadanan Nasional Berhad sebanyak 11 peratus. BERNAMA

Tiada ulasan: