BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penghuni 14 buah banglo yang ranap dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, 6 Disember lalu, kini dibenarkan mencari barangan berharga mereka yang tertimbus di sebuah tapak pengumpulan tanah sementara.
Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Abdul Jalil Hassan berkata tapak tanah itu dibuka pada pukul 8 pagi ini selepas mendapat persetujuan penghuni-penghuni terbabit.
Beliau berkata penghuni yang ingin mencari barangan mereka diwajibkan mendaftar di kaunter Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang disediakan dan akan diawasi pihak berkuasa.
"Tapak pengumpulan tanah sementara ini terletak di satu kawasan lapang di Pangsapuri Riverdale. Hanya tanah dari barisan tujuh rumah dari nombor 2 hingga 8 yang diangkut sebelum ditempatkan di tapak berkenaan.
"Sekiranya tiada penghuni yang tampil untuk mencari barangan mereka, tanah itu akan diangkut semula sebelum ditempatkan di tapak pembuangan tanah kekal di Ukay Bestari. Tetapi sekiranya ada penghuni yang ingin mencari di tapak berkenaan (Ukay Bestari) selepas tempoh diberikan, kita tidak halang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Jalil berkata tapak itu akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 7 malam setiap hari dan sehingga kini belum ada penghuni yang tampil untuk mencari barangan mereka.
Katanya proses mengangkut semua tanah itu dari tapak runtuhan akan mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 hari.
Beliau berkata sekiranya ada tuntutan terhadap barangan yang sama daripada dua penghuni berbeza, maka perkara ini akan dirujuk ke mahkamah.
"Kalau ada pertikaian, kita akan minta pihak yang terbabit kemukakan bukti pembelian barangan mereka. Jika tidak, kita akan nasihatkan mereka untuk buat laporan polis dan perkara ini akan dirujuk di mahkamah.
"Saya ingin nyatakan bahawa hanya tanah yang dipercayai mengandungi barangan berharga akan ditempatkan di tapak pengumpulan tanah sementara itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan