Selasa, 9 Disember 2008

Kerjasama erat,tiada masalah dalam Pakatan Rakyat

Izwan Abdul Halim |


ALOR STAR - Tiada masalah dalam kerjasama Pakatan Rakyat dan perkara-perkara yang dilakukan sememangnya memerlukan kajian dan pertimbangan memandangkan Pakatan Rakyat baru lapan bulan memerintah.

Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata demikian ketika diminta wartawan mengulas dakwaan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato' Dr Hasan Ali bahawa sukar mentadbir Selangor bersama KeADILan dan DAP.

"Kita Pakatan Rakyat memang bekerjasama, kalau tidak bekerjasama tak bolehlah 'pukul' Barisan Nasional baru ini dan kita kerjasama nak lawan Barisan Nasional. Di Kedah ini kita atur nak 'pukul' bagi tak bangun dah. Kita akan 'pukul' lepas ini!

"Dia tak payah kerjalah macam mana pun, bagi dia selesai rumah tangga dia dulu. Kita tahu apa mereka buat kerja sekarang ini. Sekarang kita 'silent', tunggu hari kita akan 'pukul' mereka. You settle you punya rumah tangga, kenapa mesti nak kacau rumah tangga orang," tegasnya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Lembu Sempena Hari Raya Korban di perkarangan Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini baru-baru ini.

Ujarnya, banyak perkara yang diputuskan dapat diterima bersama dalam Pakatan Rakyat dan terdapat juga perkara memerlukan masa sesuai untuk dilaksanakan, bagaimanapun pentadbiran dapat berjalan dengan baik.

Menjawab pertanyaan media berhubung tindakan Kerajaan Negeri Kedah berkaitan penguatkuasaan jualan arak, Menteri Besar menegaskan bahawa arak hanya diharamkan kepada orang Islam tetapi tidak kepada bukan Islam.

"Alkohol ini tidak haram pada orang bukan Islam. Yang ada enakmen ini larang bagi orang Islam minum. Kalau dia minum kita perlu ada satu pasukan penguatkuasaan, kekurangan pentadbiran itu akan ambil masa. Lesen-lesen untuk orang bukan Islam hendak minum kita kena berilah, kecuali kalau dia minum arak hingga merosakkan masyarakat, bila dia mabuk di langgar sana sini, itu tidak baik untuk kepentingan awam.

"Sesiapa pun tidak akan benarkan, ada undang-undangnya. Tapi kalau orang bukan Islam hendak minum arak, dia minumlah. Itu hak dia, tetapi hormatlah 'public order'. Orang Islam agamanya melarang, kenapa mesti kita benarkan," ujarnya menerangkan.

Memberi penjelasan lanjut, beliau berkata, umum menuntut untuk melaksanakan banyak perkara tetapi tindakan kerajaan perlu dilaksanakan berperingkat. - mks._

Tiada ulasan: