Selasa, 2 Disember 2008

‘Kami cuma berkawan’

Oleh Nor Akmar Samudin


HULU KLANG: “Saya baik dengan Zul pun bukan ada apa-apa yang istimewa. Kami cuma berkawan. Saya sedar kes (perceraian) saya belum selesai. Sesekali dia datang tengok saya berlakon,” kata Abby Abadi, 31, ketika memperkenalkan Zulkifli Ariffin, ‘pasangan’ barunya dalam drama bersiri Gerak Khas.

Zulkifli, 22, yang muncul lalu mendekati Abby ketika sesi temu bual di sini semalam, adalah pelakon baru yang diperkenalkan menerusi drama ‘Apa Itu Cinta’, arahan Mariana Hashim.

Pemuda berdarah kacukan Melayu-Belanda itu bakal menggantikan Norman Hakim atau nama sebenarnya, Mohamed Nurhakim Zaidon, 32, bagi memantapkan pasukan polis dalam drama Gerak Khas musim baru yang bakal memulakan penggambaran, bulan depan.

Abby atau nama sebenar, Arbaeyah Abdul Manan, berkata sebelum ini dia terlalu sibuk dengan keluarga sehingga jarang mempunyai masa untuk diri sendiri.

“Kami bertemu ketika berlakon bersama dalam drama Apa Itu Cinta. Dalam drama itu dia menjadi kekasih saya. Selepas tamat penggambaran drama itu kami tidak berhubung. Bagaimanapun, kami jadi baik selepas Aidilfitri lalu,” katanya.

Menurut Abby, dia mempunyai ramai kawan, namun pelakon itu sentiasa berada di sisinya, dan kebetulan pula Zul turut mendapat tawaran berlakon dalam Gerak Khas musim baru.

Dengan ketiadaan Norman Hakim dalam drama itu mulai tahun depan, penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam memerlukan watak baru bagi memantapkan pasukan polis dalam drama itu.

“Datuk Yusof mahu saya dan Zul memulakan penggambaran bersama pada Januari ini. Saya tiada masalah berlakon dengan sesiapa pun.

“Bagaimanapun, mungkin ada kelebihan berlakon dengan Zul kerana kami saling mengenali. Untuk musim baru ini saya dinaikkan pangkat menjadi Asisten Superintendan manakala Zul berpangkat Inspektor,” katanya.

Sementara itu Zul yang peramah memberitahu, dia senang berkawan dengan Abby kerana sifatnya yang kelakar.

“Sebelum ini saya tidak kenal Abby secara peribadi. Hanya membaca cerita mengenainya di akhbar dan majalah. Apabila Mariana Hashim mahu menggandingkan saya dengan Abby dalam Apa Itu Cinta, saya sangat gementar.

“Abby sudah lama berlakon dan saya masih bertatih. Tetapi sewaktu penggambaran, Abby banyak memberi tunjuk ajar. Kemesraannya membuatkan saya berjaya membuang rasa gugup.

“Selepas tamat penggambaran, kami membawa haluan sendiri. Tiba-tiba pada Aidilfitri lalu saya teringat hendak mengirim SMS ucapan Selamat Hari Raya kepadanya. Selepas tiga kali mengirim SMS, baru dijawabnya. Dari situlah bermulanya titik perkenalan yang lebih erat dengannya.

“Pun begitu, saya tidak pernah ambil tahu urusan peribadinya. Biarlah dia selesaikan sendiri. Sebagai kawan, saya sentiasa mendoakan kebahagiaannya. Saya tahu cabaran bakal dihadapi sebagai anak seni, apatah lagi apabila ada yang tahu saya berkawan dengan Abby.

“Biarlah orang nak cakap apa asalkan saya dan Abby tahu batas pergaulan. Sebagaimana Abby, saya juga mahu memberi tumpuan kepada lakonan kerana ia bidang baru bagi saya.

“Banyak yang perlu dipelajari daripada memikirkan soal cinta,” kata Zul yang terlebih dulu mengasah bakat dalam bidang modeling.

Tambah Zul, jika tiada aktiviti, dia selalu juga menjenguk Abby di lokasi Ceria Ceria Cikgu Ribena.

“Kedatangan saya ke sini hanya untuk memberi sokongan kepadanya,” katanya.

Selepas berduka apabila rumah tangganya dengan Norman Hakim dilanda badai sebulan lalu, Abby kini kelihatan kembali bersemangat dan ceria menempuh episod baru dalam hidupnya bersama tiga cahaya mata tercinta, Mohamed Danish Hakim, 5, Marissa Dania Hakim, 3 dan Maria Danisha Hakim, dua bulan setengah.

Wajah dan senyumannya kembali berseri. Baginya sekarang tumpuan hanya kepada kerja dan anak. Tawaran berlakon juga kian mencurah dengan jadual hariannya padat sepanjang Disember dan Januari depan.

Tiada ulasan: