BERNAMA
SHAH ALAM: Satu kemalangan yang melibatkan tujuh kereta di Ulu Bernam pada hari Sabtu lepas mendedahkan aktiviti sebenar seorang lelaki apabila polis menemui sejumlah dadah bernilai hampir RM1 juta disorokkan di dalam keretanya.
Lelaki yang sedang dalam perjalanan dari Utara ke Selatan itu dipercayai memandu laju sebelum terbabas, hingga menyebabkan tujuh kereta lagi merempuh antara satu sama lain, dan beliau hanya mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir berkata polis yang memeriksa keretanya menemui sebuah beg pakaian yang mempunyai 33 paket plastik bersaiz besar berisi dadah dari jenis heroin dan ketamin.
“Berat keseluruhan heroin yang dirampas itu kira-kira 16.5kg dan ia dianggar bernilai hampir RM900,000 di pasaran. Ketamin pula seberat 1.3kg dan bernilai RM15,000,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata suspek yang berusia 45 tahun dan berasal dari utara itu pernah ditahan sebelum ini juga atas kesalahan dadah, dan juga berkaitan akta senjata api.
Nordin berkata polis kemudiannya menyalurkan hasil maklumat yang diperolehi dari lelaki itu kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang yang terus menyerbu dua buah rumah yang digunakan untuk memproses dan menyimpan dadah di sana, dan menemui empat senjata api.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan