BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengumuman oleh polis baru-baru ini bahawa ia mungkin akan mengambil tindakan atau menghukum ibu bapa yang cuai menjaga anak mereka adalah satu cadangan sahaja, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung.
Katanya ini adalah kerana kalau ada apa-apa tangkapan, siasatan terperinci harus dijalankan dulu sebelum tindakan diambil terhadap sesiapa pun sama ada suspek atau ibu bapa mangsa.
"Tetapi yang paling penting sekali siasatan terperinci harus dijalankan dan jika terdapat bukti barulah kita ambil tindakan terhadap sesiapa berkenaan termasuk ibu bapa," katanya menjawab soalan tambahan Tan Ah Heng (BN-Gelang Patah) pada persidangan Dewan rakyat di sini hari ini.
Sementara itu, menjawab soalan Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam), Chor berkata polis masih lagi menjalankan siasatan dan tidak pernah sesekali menutup kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin dan kehilangan Sharlinie Mohd Nashar.
Beliau berkata setakat ini polis telah membuat beberapa tangkapan terhadap dua kes berkenaan.
"Namun demikian tiada sebarang keterangan atau buktibukti yang menunjukkan mereka terlibat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan