MSTAR ONLINE
KUALA LUMPUR: Waspada! Pasukan pemantau dibentuk oleh Lembaga Displin Umno telah mengenal pasti calon, yang menawarkan diri bagi merebut jawatan dalam pemilihan parti Mac depan, yang mengamalkan politik wang dan penyalahgunaan kuasa.
Lembaga Disiplin sedang dalam proses menganalisis dan penyiasat secara serius dan terperinci, untuk mengumpulkan segala bahan bukti dan saksi bagi tujuan mengambil tindakan tegas terhadap mereka tanpa mengira sesiapapun.
"Jika sekiranya mereka yang terlibat ini akhirnya didapati bersalah, mereka akan hilang hak untuk bertanding atau sekiranya menang, kemenangan mereka boleh dibatalkan," kata Pengerusi lembaga itu, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail hari ini.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika banyak pihak mendakwa gejala politik semakin berleluasa dalam pemilihan Umno kali ini di samping ada usaha menghalang pemimpin-pemimpin tertentu daripada dicalonkan dan bertanding.
Kelmarin Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ada bahagian yang meminta ganjaran sehingga RM2 juta bagi setiap pencalonan.
Bahagian-bahagian Umno mula bersidang selama sebulan sejak awal bulan lalu.
Pemilihan pusat akan diadakan Mac depan.
Sejak kebelakangan ini, tegas Ahmad Rithauddeen, khususnya di peringkat pencalonan Timbalan Presiden dan Naib Presiden, pihaknya mendapati calon-calon yang menawarkan diri telah menggunakan ramai pengurus, perayu dan pelobi untuk mendapatkan pencalonan.
"Dengan adanya ramai pemantau yang kami wujudkan sekarang di seluruh negara, pihak kami telahpun mengenal pasti calon-calon yang menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan rasuah politik wang yang begitu hebat dan keterlaluan," katanya.
Beliau yang sedih dan kecewa tentang gejala amalan politik wang yang berlaku dalam tempoh pemilihan bahagian Umno yang sedang berlangsung mengingatkan semua calon serta pihak terlibat supaya segera memberhentikan perbuatan itu.
"Memandangkan masih ada berbaki 49 bahagian yang akan bersidang pada akhir minggu ini, saya ingin memberi peringatan tegas kepada semua calon dan pihak terlibat supaya menghentikan gejala yang tidak baik dan terkutuk ini agar dapat kita bersama-sama memperkuatkan Umno, demi kesejahteraan dan kebahagiaan kita dan generasi akan datang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan