Khamis, 6 November 2008

Vijayaratnam:Gerakan berterima kasih atas takziah Pemuda PAS

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengucapkan terima kasih di atas ucapan takziah yang disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub kepada parti tersebut serta ahli keluarga mendiang Dato' Dr S. Vijayaratnam.

Dalam ucapan yang difakskan kepada pejabat Pemuda PAS itu, Koh menyatakan Naib Presiden Gerakan itu merupakan seorang pemimpin yang amanah dan disanjung tinggi oleh semua parti.

"Gerakan telah kehilangan seorang tokoh yang berdedikasi dan setia kepada perjuangan parti. Kini kami juga kehilangan seorang kawan seperjuangan yang rapat. Semangat dedikasi dan perkhidmatan berliau sebagai anak Malaysia sejati akan terus memberi inspirasi kepada kami semua untuk meneruskan usaha bagi merealisasikan negra Malaysia yang harmoni, bersatu padu dan maju, "katanya dalam ucapan tersebut.

Sementara itu Salahuddin dalam ucapan takziahnya itu menyifatkan kematian mendiang sebagai satu kehilangan yang besar serta amat dirasai dalam arena politik negara.

Vijayaratnam, 58, dijumpai mati di hadapan kliniknya di bangunan Vijaya Mahal di Jalan Tunku Hassan, Seremban pada 12.15 tengah hari, 3 November lalu dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan miliknya. - mks. _

Tiada ulasan: