Rabu, 5 November 2008

PR, BN sokong levi tekan rakyat

SUARA KEADILAN


PARLIMEN - Dalam pada rakyat ditekan inflasi, tindakan kerajaan mengenakan levi ke atas kontrak-kontrak Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dipersoalkan bukan sahaja oleh PR, bahkan dibantah oleh BN Sarawak.

Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Hee Loy Sian (KeADILan-Petaling Jaya) mempersoalkan rasional kadar levi keatas kontrak CIDB dapat membantu industri pembinaan yang menguncup akibat inflasi dan kelembapan ekonomi negara.

Levi yang dimaksudkan ialah keperluan memenuhi Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia , Akta 520 di mana kontraktor utama dikenakan levi ke atas kontrak yang bernilai lebih RM500,000; dengan kadar 0.25% dari nilai kontrak.

Soalan itu bagaimanapun tidak dijawab dengan jelas oleh Timbalan Menteri Yong Khoon Seng (BN-Stampin).

Beliau bagaimanapun mengakui isu tersebut dan berkata kerajaan telah mengecualikan levi keatas projek perumahan kos rendah, sederhana rendah dan sederhana, serta pembinaan rumah yang menggunakan lebih 50 peratus komponen Sistem Binaan Perindustrian atau Industrial Building System.

Kerajaan bagaimanapun tidak mengecualikan levi bagi projek-projek lain, cuma penurunan sebanyak 0.125 peratus.

Jawapan kepada soalan Hee Loy Sian mengenai berapakah nilai terkumpul yang dikutip melalui CIDB, Timbalan Menteri menyebut bahawa setakat ini nilai terkumpul sejak lima tahun kebelakangan (2003-2007) ialah RM400.4 juta.

Dewan riuh apabila dalam jawapan beliau tersasul menyebut “kutipan tol” yang sepatutnya “kutipan CIDB”.

Jawapan Yong Khoon ini bagaimanapun mengundang kritikan Ahli Parlimen Tiong King Sing (BN-Bintulu) yang berkata levi itu harus dimansuhkan sama-sekali.

Katanya lagi, CIDB tidak diwujudkan untuk mengaut untung semata-mata, dan levi yang terkumpul sepatutnya sudah untuk merangsang pembangunan industri pembinaan.

Ahli Parlimen Bintulu dengan lantang menggesa agar para menteri dan wakil-wakil mereka tidak menipu rakyat dengan jawapan yang berbelit-belit.

Oleh kerana Timbalan Menteri dilihat tidak yakin untuk menjawab, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah menasihatkan Timbalan Menteri untuk berbincang dengan pihak Kementerian dahulu sebelum memberi sebarang penjelasan lanjut.

Timbalan Menteri juga menerangkan dengan panjang lebar kegunaan levi itu bagi membantu kontraktor meningkatkan kemahiran dan kepakaran sumber manusia dalam industri pembinaan. - msh

Tiada ulasan: