Sabtu, 15 November 2008

Keluarga Razak Baginda lega tiada rayuan keputusan mahkamah

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Bapa kepada Abdul Razak Abdullah Baginda berasa lega apabila pihak pendakwaan mengesahkan tidak akan merayu terhadap keputusan pembebasan anaknya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, dua minggu lalu.

Datuk Abdullah Malim Baginda berkata, beliau sekeluarga melahirkan rasa syukur dan lega terhadap keputusan tersebut.

"Saya dan keluarga berasa sangat bersyukur dan lega selepas keputusan diumumkan," katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini untuk mengulas berhubung keputusan pihak pendakwaan hari ini.

Hari ini Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, yang mengetuai barisan pendakwaan kes penganalisis politik Abdul Razak yang dilepaskan daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu telah memutuskan tidak akan memfailkan rayuan atas alasan hakim yang memutuskan kes telah pun membuat penemuan fakta dalam membebaskan Abdul Razak.

Pada 31 Oktober lepas, Abdul Razak, 48, dibebaskan tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan Altantuya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin.

Abdul Razak, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, dituduh bersubahat dengan dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dalam pembunuhan Altantuya di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi, 18 Oktober 2006, dan 9.45 malam keesokannya.

Azilah, dan Sirul Azhar diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh ibu dua anak lelaki yang berumur 28 tahun itu di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam, 19 Oktober 2006, dan 1 pagi keesokannya.

Mahkamah menetapkan 15 Januari tahun depan untuk mereka mengemukakan keterangan membela diri.

Tiada ulasan: