Rabu, 12 November 2008

DBKL diminta tangguh roboh premis perniagaaan di Kpg Loke Yew

Abdul Rahim Sabri


Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin hari ini meminta jaminan bertulis daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menangguhkan operasi merobohkan premis peniagaan besi buruk dan bengkel kereta di Kampung Loke Yew di Jalan Semarak.

Beliau meminta jaminan bertulis itu ketika mengadakan perbincangan dengan penolong pengarah di pejabat Datuk Bandar, Md Aznan Md Zin di bangunan DBKL pagi ini.

Terdapat 15 premis perniagaan besi buruk dan bengkel kereta di kawasan itu dan sehingga lima daripadanya telah dirobohkan setakat ini.

Kira-kira 10 peniaga di kawasan terbabit turut hadir dalam perbincangan tersebut.

Zuraidah ke DBKL pagi ini selepas menerima aduan daripada salah seorang perniaga terbabit.

Sementara itu, Md Aznan berkata beliau akan menyampaikan permintaan Zuraidah kepada Datuk Bandar, Datuk Abdul Hakim Borhan.

Sementara itu, pengerusi persatuan penduduk Blok E dan F Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semerak Azhar Abdullah berkata, beliau sedang berusaha membantu mencari tempatan altenatif untuk mereka berpindah.

Azhar yang mendakwa sebagai wakil kepada Wakil Rakyat kawasan Setiausaha, Datuk Seri Zulhasnan Rafique yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

Tiada ulasan: