SIASAH DAILY
SHAH ALAM - PAS menegaskan tindakan mereka tidak menyokong perlantikan Madam Low Siew Moi bukan kerana dia Cina atau wanita tetapi kerana berpendapat tokoh dari luar perlu dilantik ke jawatan itu untuk memberi satu 'darah' baru kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berkata, dia bersedia menyokong perlantikan sesiapa sahaja termasuk Cina dan wanita asalkan calon itu benar-benar profesional.
"Saya bersedia untuk menyokong perlantikan pengurus besar PKNS yang baru kalaupun dia bukan Melayu dan bukan lelaki jika dia betul-betul profesional dan bakal membawa masa depan yang baik kepada PKNS," kata Hassan Ali.
Pandangan ini, kata beliau, ekoran banyak cerita yang beliau dengar tentang Madam Low di samping cerita tentang bekas Pengurus Besar yang akan bersara, Datuk Harun Salim.
Bagi timbalan beliau, Khalid Samad pula, darah baru diperlukan oleh PKNS selepas menghadapi pelbagai cerita negatif.
"Jika kita kata pengurusan PKNS tidak bagus, saya beranggapan Madam Low juga tidak bagus kerana dia adalah salah seorang pengurus kanan badan itu bukan kerana dia bukan Melayu.
"Sesiapa yang memimpin PKNS pun tidak ada masalah asalkan dia memahami dasar dan tujuan PKNS serta dapat mematuhi Lembaga Pengarah PKNS yang dipengerusikan oleh MB.
"Kita juga tidak mahu melantik Melayu tetapi selepas itu dia tidak perform dan menyusahkan Pakatan," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad.
PAS dan PKR bersetuju untuk mencari pengganti kepada Madam Low Siew Moi untuk dilantik sebagai Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kerana perlantikan Low hanyalah untuk sementara sahaja sebelum mendapat calon baru dari luar.
Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, perlantikan Madam Low adalah untuk sementara sahaja.
"Dia yang terbaik dan sesuai untuk menolong peralihan kuasa agar berjalan dengan teratur," kata jurucakap dari pejabat MB Selangor menjelaskan perlantikan itu.
Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor mengumumkan perlantikan Madam Low sebagai pemangku Pengurus Besar PKNS bagi menggantikan Datuk Harun Salim yang akan bersara mulai 1 November ini.
Low dipilih oleh MB Selangor itu walaupun, ada dua lagi Timbalan Pengurus Besar iaitu Md. Nasir Md. Arshad (Pentadbiran dan Pembangunan) dan Abdul Ghani Hashim (Teknikal).
Low adalah Timbalan Pengurus Besar Korporat dan Akaun untuk PKNS. Beliau telah bekerja dengan bahagian akaun PKNS sejak 35 tahun yang lalu.
Selepas sampai umur bersara pada tahun 2006, dia telah tiga kali dilantik ke jawatan kontrak iaitu pada tahun 2006, 2007 dan 2008.
Berbanding dengan calon-calon yang lain, Low dianggap oleh MB Selangor sebagai "pihak yang bersedia menjadi pemimpin sementara."
Sebuah akhbar milik Umno Rabu lalu menyerang Khalid habis-habisan dengan isu ini.
Ketua Pemuda Umno Selangor, Abdul Shukur Idris dilaporkan meminta Sultan Selangor campur tangan dengan isu ini kerana Khalid didakwa tidak membela kepentingan orang Melayu.
Persatuan Pegawai Kanan PKNS juga menghantar memo bantahan kepada Khalid.
Hassan Ali dalam kenyataannya kepada Siasah berkata, PAS tidak bersetuju perlantikan itu "bukan kerana Madam Low Cina atau wanita sebagaimana didakwa MCA tetapi dari segi kewibawaannya dua lagi timbalan pengurus besar yang ada lebih diterima oleh 800 pekerja PKNS dan menjadi kebiasaannya timbalan pengurus besar pentadbiran yang dinaikkan pangkat."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan