Khamis, 26 November 2020

Nyaris terkena tembakan curi

Zuliaty Zulkiffli

BUKIT KAYU HITAM 26 NOVEMBER 2020. Anggota Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Lans Koperal Bob Rizan Jang, 27, yang hampir terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand dalam kejadian pertama 12 November lalu.STR/ZULIATY ZULKIFFLI

Bukit Kayu Hitam: "Saya geram apabila mengenangkan kejadian nyaris terkena tembakan curi yang dilepaskan musuh (penjenayah) pada 12 November lalu," kata anggota Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Lans Koperal Bob Rizan Jang, 27.

Menceritakan semula kejadian itu, Bob Rizan berkata, ketika itu dia mengawal kawasan sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Pos M7 sekitar 6.30 pagi.

Katanya, dia kemudian terdengar bunyi enjin kereta diberhentikan pada jarak berdekatan dan menyangka ada penyeludup mahu menceroboh pagar sempadan.

"Namun secara tiba-tiba saya nampak seorang lelaki melepaskan dua das tembakan ke arah saya menyebabkan saya tergamam kerana menyangka dia hanya main-main.

"Tetapi selepas ternampak percikan api dan kesan letusan peluru di permukaan tar, saya terus melarikan diri berlindung di tiang elektrik dan cuba bertahan," katanya ketika ditemui di jalan keselamatan Malaysia-Thailand, di sini semalam.

Pada 13 November lalu, Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan mengesahkan berlaku kejadian tembakan membabitkan anggota keselamatan yang bertugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand.

Kejadian itu dikatakan sebagai amaran kepada pihak berkuasa Malaysia berikutan tindakan kerajaan mengetatkan kawalan sempadan sehingga menyukarkan kegiatan penyeludupan.

Bob Rizan berkata, dia sudah mencekah senjatanya, namun lelaki berkenaan bertindak melarikan diri mungkin kerana terdengar bunyi senjata berkenaan.

"Selepas beberapa minit, saya keluar dari tempat perlindungan dan mendapatkan bantuan dari Pos M7. Sejak itu saya geram kerana kami bekerja dengan ikhlas tetapi diserang pula musuh tak dikenali.

"Musuh pula serang secara tiba-tiba seperti simpan dendam terhadap anggota keselamatan Malaysia," katanya.

Sementara itu, anggota Skuadron Perisai 1, Batalion 2 PGA Kulim, Sarjan Shukri Abu Bakar, 51, berkata, kejadian tembakan terhadap anggota PGA di Pos TS9 Padang Besar, Perlis kelmarin, tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan perjuangan.

"Setiap hari kami menggunakan kereta perisai Sankey AT 105 melakukan rondaan dua kali sehari di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bersama lapan anggota bagi memantau pergerakan musuh.

"Rondaan ini dilakukan dari kawasan Markas Taktikal PGA Briged Utara di Bukit Kayu Hitam sehingga ke pos kawalan C15 di Perlis," katanya.

Sementara itu, Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, pihaknya akan membuat kajian dari segi telekomunikasi anggota berikutan mengalami masalah perhubungan di kawasan sempadan.

Beliau berkata, jika mempunyai perhubungan baik, anggota tidak perlu lagi menunggang motosikal bagi mendapatkan bantuan kerana mereka boleh berhubung pada bila-bila masa jika berlaku kecemasan.

"Kita sudah meminta pegawai komunikasi semboyan untuk membawa usul ini kepada pihak atasan agar masalah perhubungan di sempadan dapat diatasi segera.

"Apapun kejadian tembakan kelmarin tidak mematahkan semangat anggota Batalion 3 PGA malah mereka kini lebih bersemangat dalam menjalankan tugas," katanya.

Tiada ulasan: