Ahad, 15 Januari 2017

Pengendali MRT gesa pengguna guna kaedah tanpa tunai

ISMA WEB
 
 


KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn Bhd, pengendali transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) bagi pemilik aset Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, menggesa pengguna menggunakan kaedah tanpa tunai bagi kemudahan dan kelancaran mereka selepas berakhirnya tempoh promosi perjalanan percuma pada Isnin ini.

Rapid Rail, dalam satu kenyataan hari ini berkata bermula Selasa, pengguna akan dikenakan bayaran antara RM1.20 dan RM3.90, bergantung kepada jarak perjalanan di bawah struktur tambang tunai dan antara RM1.20 dan RM3.40 di bawah kaedah tanpa tunai.

“Penumpang boleh membeli token perjalanan mereka daripada Mesin Layan Diri Tiket. Bagi kaedah tanpa tunai, penumpang boleh membeli kad Touch ‘n Go, Kad Bulanan MRT atau Kad Mingguan MRT daripada pejabat khidmat pelanggan di stesen bagi kemudahan perjalanan,” kata syarikat itu.

Hanya token dan kad Touch ‘n Go boleh digunakan untuk memasuki get tiket, manakala kad MyRapid hanya diterima bagi kegunaan selepas pembukaan fasa kedua antara Semantan dan Kajang, yang dijadualkan pada Julai.

Rapid Rail berkata pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) akan diberikan diskaun 50 peratus dan token konsesi boleh dibeli daripada pejabat khidmat pelanggan di stesen MRT.

Menurut syarikat itu, dengan tempoh perjalanan percuma yang telah tamat, perkhidmatan bas perantara akan mengenakan bayaran RM1 bagi setiap perjalanan, sambil menambah pembayaran boleh dibuat secara tunai atau kad Touch ‘n Go.

Pelajar, warga emas, dan OKU akan diberikan diskaun 50 peratus sekiranya mereka membayar secara tunai selepas menunjukkan kad pelajar mereka (sekiranya tidak memakai pakaian seragan), kad pengenalan pendaftaran negara atau kad OKU semasa menaiki bas perantara.

Penumpang boleh mendapatkan butiran terperinci mengenai struktur tambang itu dengan melayari laman web myrapid.com.my. – Bernama


Tiada ulasan: