Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Masih belum ada kata putus berhubung rundingan antara PAS
dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), ujar Naib Presiden PAS, Idris
Ahmad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden
PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengulangi keperluan untuk partinya
bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan PAS.
Muhyiddin ketika berucap sempena majlis pelancaran PPBM malam tadi
menyeru pembentukan gabungan politik yang mantap antara PAS, PPBM dan PH
dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
"Kita sudah ada Gagasan Sejahtera dan kita juga ada rundingan dengan
PPBM. Itu sahaja. DAP dan PAN (Amanah) sehingga ke hari ini tidak ada
(kerjasama).
"Sekarang kita masih adakan rundingan (dengan PPBM). Parti belum
bincang secara muktamad lagi," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Muhyiddin, ketika berucap di majlis perasmian partinya malam tadi
menekankan keperluan rundingan bersama parti-parti di luar gabungan
PH-PPBM untuk diteruskan bagi membentuk kerjasama yang kuat.
Ketika berucap di pentas PAS sebelum ini, Muhyiddin pernah menyuarakan
hasrat yang sama supaya gabungan pembangkang mampu mewujudkan gelombang
perubahan yang besar ke arah pembentukan kerajaan baru dalam pilihan
raya tidak lama lagi.
Namun begitu hasrat Muhyiddin kelihatan tidak senada dengan Pengerusi
PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membayangkan PAS sebagai parti yang
mungkin memecah-belahkan undi pembangkang dan membawa kelebihan kepada
Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, Idris ketika diajukan perihal kehadiran Ahli Parlimen
Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ke majlis berkenaan malam tadi, enggan
mengulas lanjut.
"Tidak apalah, itu pandangannya. Biar dia," katanya ringkas.
Mahfuz adalah satu-satunya pemimpin PAS yang hadir ke majlis perasmian PPBM itu atas kapasiti peribadi.
Bekas Naib Presiden PAS itu turut menyelar partinya kerana tidak
menghantar seorang pun wakil ke majlis berkenaan, dan menyifatkannya
sebagai 'memburukkan lagi keadaan'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan