SHAH ALAM: Lidah rasmi PAS, Harakah Daily menyifatkan pelantikan
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution ke jawatan Penasihat
Strategik kerajaan Pulau Pinang, sebagai 'dedak'.
"Pelantikan itu hanyalah 'dedak' supaya individu atau parti yang dilantik akan terikat.
"Dengan kelebihan sebagai kerajaan, DAP menggunakan kesempatan itu
memberikan jawatan bagi menggerakkan misinya," menurut komen yang
diterbitkan portal itu menerusi ruangan editorial, semalam.
Menurut komen itu lagi, pelantikan Saifuddin adalah sebahagian usaha DAP menyekat sebarang kerjasama PKR dengan PAS.
Menurutnya, pelantikan 'orang penting PKR' dalam pentadbiran DAP itu
berlaku ketika PKR masih menunjukkan 'sayang dan rindu' kepada PAS, yang
ketika ini masih meneruskan tahaluf siyasi.
"Kebimbangan itulah mendesak DAP membuat tindakan 'strategik' mengikat
Saifuddin yang baharu sahaja sebelum ini dilantik sebagai Setiausaha
Agung PKR.
"Secara halusnya, Saifuddin akan menjadi sekurang-kurangnya sebagai
'penimbang tara' terhadap kepentingan DAP di dalam keputusan PKR dan
mengukuh dalam gabungan PH-PPBM," menurut penulisan itu.
Ia merujuk kepada perjanjian kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin
yang ditandantangani bulan lalu.
Pelantikan Saifuddin menerima sokongan Biro Politik PKR Pusat.
Saifuddin memulakan tugasnya dari pejabat pentadbiran negeri di Komtar,
di tingkat sama pejabat Ketua Menteri Lim Guan Eng.
PAS sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan PH disebabkan keanggotaan DAP dan Amanah dalam gabungan itu.
Parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bagaimanapun meneruskan
tahaluf siyasi bersama PKR dan dalam masa yang sama membentuk blok baru
bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menerusi Gagasan Sejahtera
(GAGASAN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan