Jumaat, 6 Januari 2017

Kenapa Guan Eng lantik 'orang luar' jadi penasihat?, soal BN P Pinang

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar


Post Pic
SHAH ALAM: ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad hari ini mempersoalkan pelantikan Datuk Saifuddin Nasution sebagai Penasihat Strategik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam.
"Apa yang beliau tahu tentang Pulau Pinang? Pejabat Ketua Menteri sudah ada ramai pegawai, berkali ganda jumlahnya berbanding KM terdahulu daripada BN.
"Saya tak pasti beliau hendak menguatkan kerajaan negeri atau dirinya iaitu Ketua Menteri. Sebab pada saya, jika untuk memajukan Pulau Pinang, saya rasa dengan kakitangan sedia ada sudah mencukupi. Mereka dibenarkan  bersuara untuk beri pandangan," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Saifuddin merupakan Setiausaha Agung PKR menggantikan Rafizi Ramli yang bertindak mengosongkan kerusi itu selepas dijatuhi hukuman penjara kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi.
Upacara tersebut dijalankan dihadapan Guan Eng dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus.
Turut hadir exco-exco kerajaan negeri, Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Datuk Anas Ahmad Zakie dan Pegawai Kewangan Negeri Sarul Bahiyah Abu.
Mengulas lanjut, Farid juga menimbulkan persoalan apakah pelantikan itu sebagai 'persediaan' Guan Eng yang akan menghadapi perbicaraan kes rasuahnya bermula Mac ini.
"Mengambil kira beliau (Guan Eng) mungkin berdepan dengan kes mahkamah nanti, maka banyak masa dan tumpuan diberikan terhadap kes. Itu mungkin diharapkan bahawa ada seseorang yang mengatur strateginya di Pulau Pinang. 
"Namun takkanlah pemimpin lain seperti Datuk Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri 1) dan Datuk Mansor Othman (Pengerusi PKR Pulau Pinang) dan Datuk Malek Kasim (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam) tidak boleh memainkan peranan sehingga memerlukan orang dari luar?," soalnya lagi.
Kes rasuah Guan Eng akan dibicarakan pada Mac 2017 yang dijangka mengambil masa 34 hari sehingga Julai nanti dan seramai 60 saksi yang akan dipanggil.
Pada 30 Jun tahun lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada perumahan dan pembelian lot tanah serta banglo di bawah nilai pasaran. 
Ramai pihak terus mendesak Guan Eng melepaskan jawatanya sebagai Ketua menteri Pulau Pinang selepas terpalit tuduhan itu



Tiada ulasan: