Selasa, 10 Januari 2017

Mat Sabu: Mari lepas geram di Himpunan Rakyat Marah

 
Presiden Amanah berkata himpunan itu akan menjadi platform rakyat melepaskan kemarahan mereka susulan kenaikan harga barang dan rasuah berleluasa dalam kalangan penjawat awam.


matsabu-himpunan

BUTTERWORTH: Jangan senyum, buat muka marah dan protes kerajaan, kemudian berarak dalam himpunan mega yang akan diadakan di Kuala Lumpur tidak lama lagi, kata Mohamad Sabu.

Presiden Amanah itu berkata himpunan yang sedang dirancang itu akan menjadi platform rakyat melepaskan kemarahan mereka susulan kenaikan harga barang dan rasuah yang berleluasa dalam kalangan penjawat awam.

Beliau yang dikenali dengan nama Mat Sabu berkata himpunan itu diilhamkan oleh blogger dan aktivis Hishamuddin Rais, yang memaklumkan kepadanya mengenai rancangan itu menerusi telefon baru-baru ini.

“Cukup-cukuplah, kami sudah jemu dengar cerita fasal pemimpin rasuah. Kami hairan mengapa rakyat tidak marah. Kenapa rakyat Malaysia tak marah rasuah?

“Jadi satu NGO telefon saya berkata mereka sedang usahakan satu himpunan sebelum pilihan raya umum akan datang. Ia akan dinamakan Hari Rakyat Marah. Himpunan Marah!

“Kita turun dari rumah jangan senyum langsung, kita marah sampai balik,” katanya sambil disambut sorakan kira-kira-kira 1,000 hadirin pada majlis ceramah Solidariti bersama Anwar Ibrahim di Prai, malam tadi.

Mat Sabu berkata langkah Hishamuddin untuk menganjurkan himpunan itu tepat pada masanya kerana reputasi negara kini tercemar teruk akibat skandal rasuah.

“Negara kita sangat terkenal sekarang. Ke mana saja rakyat Malaysia pergi, orang akan tanya mengenai rasuah dan penipuan.

“Dulu kita ditertawakan oleh orang Eropah tetapi sekarang jiran kita Thailand pun tanya bagaimana kita berdepan dengan perkara seperti ini,” katanya.

Mat Sabu berkata ketika berkunjung ke Thailand baru-baru ini, seorang pegawai imigresen bertanya kepadanya mengenai pemimpin kerajaan Malaysia.

“Pegawai Thai itu tanya saya: ‘Apa you punya PM masih kuasa? Kalau kami di Thailand dah jatuh lama. Sekali kita demo 3 hari PM keluar.’

“Mana nak letak muka kita macam ni,” katanya.

Terdahulu, 10 pemimpin Pakatan Harapan berucap di depan khalayak termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Pengerusi Amanah Pulau Pinang Datuk Mujahid Yusof Rawa.

Tiada ulasan: