Rabu, 4 Januari 2017

Mahkamah tolak bantahan Razifi terhadap afidavit LTAT

ANTARAPOS.COM

Post Pic


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Rabu menolak bantahan awal anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli terhadap pemfailan afidavit jawapan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang melebihi tempoh masa.

Peguam Saiful Izham Ramli yang mewakili Mohd Rafizi berkata anak guamnya mengemukakan bantahan itu kerana pemfailan melebihi tempoh masa menyalahi peruntukan mandatori di bawah Aturan 32 Kaedah 12(2)(b) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Beliau berkata mahkamah mengakui wujud kekeliruan di dalam arahan mahkamah ketika pengurusan kes itu pada 12 Ogos tahun lepas menyebabkan LTAT memfailkan afidavit jawapannya melebihi tempoh masa.

"Oleh itu mahkamah telah menolak bantahan awal Mohd Rafizi dan menerima afidavit jawapan LTAT," katanya kepada pemberita selepas prosiding di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Roslan Abu Bakar.

Saiful Izham berkata Mahkamah Tinggi juga menetapkan 16 Feb bagi mendengar  permohonan Mohd Rafizi untuk membatalkan sebahagian daripada pernyataan tuntutan LTAT.

Peguam Izzat Othman yang mewakili LTAT mengesahkan perkara itu.

Pada 6 Mei 2016, LTAT memfailkan saman fitnah terhadap Mohd Rafizi berhubung kenyataannya mengenai bayaran gratuiti kepada pesara tentera dan mendakwa kenyataan itu berniat untuk menjatuhkan imej baik, maruah dan reputasi LTAT.

LTAT menuntut ganti rugi am, teladan, dan perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif.

Dalam pernyataan tuntutannya, LTAT mendakwa Mohd Rafizi mengeluarkan kenyataan bertajuk 'Bayaran gratuiti pesara angkatan tentera lewat; LTAT perlu dedahkan risiko kewangan akibat 1MDB' di dalam laman blog dan laman Facebooknya pada 21 Mac 2016.

Ia juga menyatakan pada 24 Mac 2016 melalui laman sesawang Malaysiakini, Mohd Rafizi telah mengeluarkan kenyataan bertajuk 'Rafizi: I have document showing LTAT's link to 1MDB'.
Pada 28 Mac 2016, Mohd Rafizi didakwa mengulangi kenyataannya di laman Facebooknya yang bertajuk

'Laporan ketua audit negara ke atas 1MDB mengesahkan kesan masalah kewangan 1MDB ke atas LTAT".
Plaintif mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Mohd Rafizi menuduh LTAT secara tidak langsung atau secara sindiran, tidak menjaga faedah, kebajikan dan tidak mempunyai wang untuk membayar pesara tentera.


Tiada ulasan: